Yamaha juga sebenarnya ada skuter kecil dengan ciri adventure seperti Honda ADV 150, cuma ia tidak dijual di negara kita. Di Amerika Syarikat (AS), versi terbaru skuter ini sudah dilancarkan, dan dipanggil sebagai Zuma 125 2022. Model ini juga ada dijual di negara lain, seperti Taiwan, dan dipanggil sebagai BWS 125.
Masih mempunyai platform kaki seperti skuter biasa, Zuma 125 menampilkan rekaan yang unik, dengan lampu bulat berlainan saiz di hadapan, fender tajam, bahagian atas lampu yang boleh digunakan untuk meletak barang apabila dipasang rak aksesori, rim 12 inci yang dibalut tayar jenis lasak serta suspensi dengan jarak gerak masing 3.2 inci di hadapan dan 3.1 inci di belakang.
Penggerak skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc SOHC VVA penyejukan cecair, bersama gabungan transmisi CVT. Berat keseluruhan Zuma 125 adalah 128 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 6.1 liter.
Walaupun adalah skuter bercirikan lasak, Zuma 125 masih datang dengan kelengkapan yang memudahkan pengguna seperti ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan helmet fullface, pengecas USB, tongkat tengah serta casis yang direka untuk memudahkan pengendalian.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, tayar 120.70 di hadapan dan 130/70 di belakang, panel instrumen digital LCD dan tinggi tempat duduk 785 mm. Zuma 125 2022 dijual di AS dengan harga 3,699 USD (RM15,308) dan disediakan dalam dua warna iaitu biru dan hitam matte.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.