Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown Penuh Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun 2021, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan semua perkhidmatan trennya akan digantung bermula 4 Jun ini sehingga ke tarikh yang bakal dimaklumkan kelak.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman webnya, ERL turut berkongsi carta bagi pilihan pengangkutan awam yang lain untuk para pengguna yang mahu ke/dari KLIA/KLIA2. Ini termasuklah menggunakan perkhidmatan e-hailing dan bas perantara.

Klik untuk besarkan

Menurut petikan laporan Bernama, ERL memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula 1 Jun lalu.

“Justeru, bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut lebih setahun selepas penularan pertama COVID-19, hampir tidak ada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan tren tersebut adalah terhad.

Ini menyebabkan purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69% pada 2020 berbanding 2019 sebelum negara dilanda COVID-19 dan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Selasa, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89% berbanding tahun sebelumnya.