Kia telah menyiarkan beberapa gambar awal untuk SUV Sportage generasi kelima, yang kini menggunakan konsep rekaan baru jenama itu, dipanggil sebagai Opposites United.

Pada Sportage, konsep ini membawa kepada rekaan gril Tiger Nose baru, DRL LED berbentuk seperti boomerang pada kedua-dua bucu serta lampu dengan elemen bintik di sebelahnya. Buat pertama kalinya, Sportage kini ditawarkan dengan bumbung yang berwarna hitam, serta rel bumbung.

Di bawah garis tingkap tepi Sportage baru ini terdapat jalur krom panjang dari depan sehingga ke belakang dan pintunya mempunyai lengkuk yang jelas. Lampu belakang menggunakan konsep bentuk sama seperti DRL hadapan dan ia bersambung di tengah.

Sportage generasi kelima ini menggunakan bampar warna dua tona dengan kemasan di bahagian bawah berwarna hitam yang mempunyai seakan diffuser di tengah serta bentuk C di hujung. Logo Kia baru diletakkan di tengah dan lencana Sportage terdapat di tepi.

Menurut Kia, bahagian dalam Sportage direka semula dengan mengambil lebih kepentingan kepada pemandu. Bahagian tengah papan pemuka didominasi oleh panel paparan bersepadu yang bersambung dengan panel instrumen di hadapan pemandu. Corong pendingin hawa di bahagian tengah mempunyai bentuk menegak dan ia bersambung ke tepi menjadi bentuk melintang.

Selain daripada kawalan menggunakan skrin ini, pengguna juga boleh mengawal pendingin hawa dengan butang biasa di bawahnya sementara penukaran gear boleh dilakukan menggunakan tombol bulat jenis pusing yang terletak di konsol tengah. Berhampiran dengannya terdapat butang lain untuk mod cengkaman, pandangan kamera, pengesan jarak, butang pemula enjin dan fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk.

Bagi Sportage generasi kelima ini, akan terdapat varian X-Line yang akan mendapat bampar, kemasan tepi pintu serta rak bumbung khas. Bahagian dalam varian ini juga akan menggunakan balutan tempat duduk istimewa berwarna hitam atau hijau, bersama jahitan quilt serta kemasan kayu hitam.

Perincian teknikal masih belum didedahkan, tetapi Kia sebelum ini pernah memberitahu enjin yang bakal digunakan nanti “mempunyai kecekapan tinggi”, bermakna mungkin ia termasuk dengan pilihan hibrid dan plug in hybrid. Melihat kepada Hyundai Tucson 2022 sebagai perbandingan, kita boleh menjangka antaranya adalah unit petrol 1.6 turbo bersama pek bateri 1.49 kWh untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan 350 Nm tork untuk versi hibrid.