Baru sahaja beberapa hari BMW mendedahkan BMW X3 G01 dan X4 G02 facelift, sekarang Alpina sudah menunjukkan versi mereka pula, iaitu XD3 dan XD4. Seperti yang boleh dijangka, syarikat talaan terkenal ini tidak meniru X3 dan X4 M, sebaliknya membuat naik taraf mereka sendiri.

Kuasa datang daripada enjin diesel enam silinder 3.0 liter dengan empat pengecas turbo, menghasilkan 394 PS dari 4,000 hingga 5,000 rpm, dan 800 Nm tork dari 1,750 hingga 3,000 rpm. Ini adalah 6 PS dan 30 Nm lebih berbanding sebelum ini.

Dengan kelengkapan sebegitu, kedua-dua model boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, sebelum mencecah kelajuan maksimum 267 km/j (268 km/j untuk XD4). Kotak gear ZF lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive terus diberikan secara standard.

Bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty, Alpina telah membuat talaan semula kepada penyerap adaptif asal kenderaan ini dan memadankannya dengan spring yang lebih keras dan rendah. Stereng pula ditala untuk menjadi lebih sensitif dan tepat, dan dikatakan dapat menawarkan maklum balas lebih intuitif. LSD di belakang terus digunakan, tetapi ditambah dengan Performance Control yang boleh membrek setiap roda secara berasingan untuk mengurangkan understeer.

XD3 dan XD4 turut mendapat manfaat daripada peningkatan gaya yang dibuat pada model facelift X3 dan X4, termasuk gril double kidney yang lebih besar, grafik lampu yang diubah, bampar hadapan dan belakang rekaan baru serta pada X3, lampu belakang 3D baru.

Alpina kemudiannya telah membuat sendiri lip bampar hadapan, diffuser belakang serta empat muncung ekzos, dan ia kemudiannya dipasang dengan rim 20 inci yang dibalut tayar 255/45 di hadapan dan 284/45 di belakang. Untuk bahagian dalam, Alpina menggunakan kemasan balutan tempat duduk mereka sendiri dan boleh dipilih oleh pelanggan.