Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

Tiga tahun selepas Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe diperkenalkan kepada dunia, sekarang ia diberikan facelift sebagai penyegaran semula. Buat masa ini masih tiada pilihan versi PHEV GT 73, dan pelanggan cuma boleh mendapatkan model ini dengan enjin enam silinder sahaja – bersama sedikit peningkatan estetik dan kelengkapan.

Dalam keadaan standard, GT 43 dan GT 53 sebenarnya nampak sama sahaja seperti sebelum ini, tetapi pelanggan diberikan pilihan untuk menaik taraf kepada muka yang sama seperti model V8 akan datang. Jika membeli pakej tersebut, kereta akan dipasang dengan tambahan kemasan warna hitam serta jalur krom pada bukaan udara bucu bampar, serta bukaan udara tengah yang direka semula dengan sepasang lagi salur udara (hiasan).

Satu lagi pakej baru adalah AMG Night Package II, yang memberikan jalur gril Panamericana krom gelap serta lencana semua hitam. Anda juga boleh memilih tiga warna baru serta pilihan rim baru yang termasuk rekaan 10 cabang 20 inci dan cabang Y 21 inci. Sekarang juga Night Package dan Carbon Fibre Package sudah boleh digabungkan.

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

Di dalam, GT 4-Door facelift ini menerima roda stereng AMG terbaru, dipasang dengan butang kawalan sesentuh, paddle shifter lebih besar serta butang AMG yang kedua-duanya kini berbentuk bulat dan mempunyai paparan lebih terang. Stereng yang berbentuk rata di bahagian bawah ini turut mempunyai pengesan yang boleh mengetahui sama ada tangan pemandu berada pada stereng ataupun tidak, dan boleh mengeluarkan amaran atau menghentikan kereta sekiranya perlu.

Pilihan warna balutan di dalam kenderaan ini ditambah dengan kulit Exclusive Nappa warna kelabu titanium bersama jahitan kuning dan corak coklat, merah, biru, putih dan kelabu. Pilihan kemasan kayu anthracite juga adalah baru.

Selain daripada itu, kereta ini masih lagi sama seperti sebelumnya, dengan peningkatan teknikal yang telah dibuat tahun lepas. Melalui peningkatan tersebut, ia ditambah dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) berserta paparan khas AMG, dan naik taraf casis yang termasuk pelbagai bushing untuk suspensi serta subframe baru.

Bagi tahun 2021, penyerap adaptif model ini telah ditala semula dengan injap pengehad tekanan yang lebih tepat – lantunan dan mampatan – dan ia menjadi sebahagian daripada kelengkapan penting untuk suspensi udara AMG Ride Control+. Angkup brek pada model berenjin enam silinder juga boleh didapati dengan warna merah.

Kedua-dua model GT 43 dan GT 53 dikuasai oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa masing-masing 367 PS/500 Nm dan 435 PS/520 Nm. Enjin ini juga dipasang dengan sistem hibrid ringkas yang dapat menambah lagi 22 PS dan 250 Nm waktu memecut. Transmisi adalah unit automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan, dengan pacuan semua roda 4Matic+ secara standard dan pilihan pacuan roda belakang untuk model GT 43.

Pada satu masa kemudian nanti, model ini akan ditambah dengan pilihan GT 73, iaitu sebuah model plug-in hybrid yang digabungkan bersama enjin V8 4.0 liter twin turbo, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 800 PS dan lebih 1,000 Nm tork.

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe facelift – sedikit perubahan luaran dan kelengkapan, V8 belum ada

Kita juga boleh menjangkakan penawaran model GT 63, tetapi masih belum jelas lagi sama ada ia akan menggunakan enjin V8 yang sama seperti sebelum ini ataupun enjin empat silinder 2.0 liter turbo seperti A 45 dengan sistem PHEV P3.

Akhir sekali, GT 4-Door Coupe facelift ini ditawarkan dengan kemasan Edition, yang dipasang dengan bahagian hadapan seperti versi V8, dan mendapat cat warna merah, rim cabang Y 21 inci, pantulan lampu AMG, balutan kulit Nappa, kemasan kelabu di dalam, plat tepi pintu berlampu serta lencana AMG Edition di papan pemuka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required