Porsche terus menawarkan Touring Package pada model 911 GT3 992, iaitu satu pakej istimewa untuk mereka yang gemar memandu, dengan transmisi manual untuk kepuasan menukar gear tetapi rupa yang lebih ‘baik’.

Sama seperti yang dibuat pada model 911 GT3 sebelum ini, spoiler besar diganti dengan spoiler biasa daripada model Carrera, yang boleh dilaras menjadi lebih panjang. Menambahkan sedikit gaya, kemasan keliling tingkap tepi kini menggunakan aluminium silver anodised.

Jika melihat Touring Package sebelum ini, perubahan luarnya mungkin terhenti setakat itu sahaja, tetapi pada versi 911 GT3 992 ini, ia diubah lagi dengan kemasan bawah bampar yang sama warna seperti badan (menggantikan warna hitam matte pada GT3 biasa) sementara splitter pula masih menggunakan warna sama. Warna badan dan pilihan rim adalah sama seperti GT3 biasa.

Di bahagian dalam, balutan Alcantara telah diganti dengan kulit berwarna hitam, pada roda stereng, tempat duduk, penutup tombol gear, konsol tengah serta panel pintu. Penyandar tengah tempat duduk menggunakan fabrik, manakal kemasan pada papan pemuka dan tepi pintu menggunakan brushed aluminium hitam. Bahagian bucu atas papan pemuka juga mempunyai kemasan kulit yang bertekstur.

Untuk mekanikal, versi Touring ini masih sama seperti GT3, termasuklah suspensi hadapan double wishbone serta binaan serba ringan yang termasuk bonet gentian karbon serta cermin lebih nipis – membuatkan beratnya cuma bertambah lima kilogram meskipun mempunyai badan lebih lebar dan pelbagai tambahan peralatan kawalan emisi.

Kombinasi enjin dan kotak gear yang digunakan juga adalah sama – enam silinder NA 4.0 liter yang menghasilkan 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,100 rpm – 10 PS dan 10 Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Selain transmisi manual enam kelajuan, versi Touring Package ini juga buat pertama kalinya boleh didapati dengan transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan seperti GT3 biasa.