Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

Meskipun mempunyai versi RS yang lebih hardcore, Porsche 911 GT3 itu sendiri sudah boleh dianggap sebagai sebuah model yang ganas. Kini, GT3 terbaru generasi 992 telah diperkenalkan dan walaupun nampak hampir sama sahaja seperti sebelum ini, sebenarnya terdapat banyak peningkatan pada aerodinamik serta casis.

Dibina atas badan 992 yang lebih besar, GT3 baru ini diberi ‘muka’ baru dengan bukaan udara lebih lebar, serta dua lubang udara atas bonet yang dibuat daripada gentian karbon. Bumbung jenis gentian karbon disediakan sebagai pilihan tambahan.

Side skirt juga adalah lebih lebar, tetapi yang paling berbeza adalah sayap belakang yang kini terletak pada permukaan atas, dan pergerakan udaranya adalah kurang sensitif. Dengan cara ini, sayap tersebut boleh dilaras pada sudut yang lebih agresif tanpa mengganggu pembahagian angin, serta meningkatkan kecekapan dan daya tolakan ke bawahnya (downforce).

Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

Bahagian diffuser juga dijadikan lebih besar dan ke dalam untuk memperbaiki aerodinamiknya. Ketua bahagian GT Porsche, Andreas Preuninger memberitahu, dalam keadaan standard, tetapan di belakang ini dapat memberikan 50% lebih banyak daya tolakan ke bawah tanpa peningkatan sepadan pada seretan (drag), dan dalam kedudukan paling agresif pula, sayap itu boleh membantu menaikkan lagi jumlah tersebut sehingga 150%.

Pada bahagian casis, gandar belakang jenis five-link dan rear-wheel steering masih dikekalkan tetapi dipasang dengan ball joint serta wishbone bawah yang baru. Bahagian hadapan pula direka semula sepenuhnya, di mana suspensi jenis MacPherson diganti dengan double wishbone inspirasi daripada kereta lumba 911 RSR -digunakan kali pertama bagi kereta jalanan Porsche.

Cakera besi masih lagi digunakan secara standard untuk bahagian brek, tetapi ia adalah lebih besar dengan ukuran 405 mm di hadapan, dan masih lagi 17% lebih ringan berbanding yang digunakan pada GT3 991. Begitu juga dengan rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang (nat di tengah), dibalut tayar prestasi tinggi. Brek jenis karbon seramik disediakan sebagai pilihan tambahan.

Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

Enjin GT3 baru ini masih menggunakan unit enam silinder 4.0 liter NA sama seperti model 991 sebelum ini, dan ia boleh dikerah sehingga 9,000 rpm serta menghasilkan kuasa 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,100 rpm. Beberapa kelengkapan seperti penapis terpaksa ditambah pada enjin ini untuk menjadikan ia patuh kepada tahap emisi, tetapi berat bahagian itu ditimbal balik dengan sistem ekzos stainless steel 10 kg lebih ringan.

Untuk transmisi, pembeli mempunyai pilihan manual enam kelajuan atau PDK tujuh kelajuan dan kedua-duanya adalah unit yang sama seperti sebelum ini. Bagi transmisi manual, ia masih mempunyai ciri rev-matching dan 17 kg lebih ringan, sementara unit PDK itu pula adalah unik dan tidak sama seperti yang digunakan pada model Carrera dan Turbo kerana ia dikurangkan satu nisbah gear dan menjadikannya lebih ringan.

Melihat kepada prestasi, jika menggunakan transmisi PDK, GT3 baru ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai laju 200 km/j dalam masa 10.8 saat. Masa yang dicatat oleh transmisi manual pula sedikit perlahan iaitu 3.9 saat dan 11.9 saat, tetapi ia mempunyai laju maksimum yang lebih tinggi iaitu 320 km/j berbanding 318 km/j.

Pada bahagian dalam, penampilan yang lebih fokus kepada penggunaan litar dikekalkan, dengan balutan Alcantara manakala fungsi pada skrin boleh dikurangkan untuk mengurangkan gangguan dan menunjukkan perkara penting sahaja seperti tekanan angin, tekanan minyak, suhu air dan lain-lain. Lampu shift gear juga disediakan.

Selain daripada keadaan asalnya, Porsche juga menyediakan beberapa pilihan tambahan lain kepada pemilik, seperti tempat duduk dengan kerangka karbon serta pakej Clubsport yang termasuk roll cage belakang, tali pinggang lumba six-point, pemadam api dan suis mematikan kuasa bateri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required