Pertama kali didedahkan pada Julai tahun lalu, kelahiran semula Ford Bronco kini mula memasuki fasa pengeluarannya selepas sedikit tertangguh. Ini merupakan model generasi keenam jentera 4×4 berkenaan, hadir selepas 25 tahun model terakhirnya diproduksi pada tahun 1996.

Ford menerima senarai tempahan yang panjang untuk model ini, sebanyak 125,000 Bronco telah dipesan, dengan keseluruhannya 190,000 tempahan untuk pasaran AS dan Canada setakat ini. Bronco 2021 dua-pintu dan model empat-pintu pertama Bronco kini sudah mula dihantar kepada pengedar, dan menyusul ialah serahan kepada pelanggan terawal yang telah menempah sejak musim panas tahun lalu.

Dua pilihan enjin petrol disediakan. Unit 2.3 liter EcoBoost turbo empat-silinder yang menghasilkan 270 hp/420 Nm, sementara satu lagi ialah unit 2.7 liter EcoBoost V6 turbo dengan janaan 310 hp/542 Nm. Ini digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk kedua-duanya, dengan model 2.3L juga turut ditawarkan dengan pilihan transmisi manual Getrag tujuh-kelajuan.

Selain varian paling asas yang dijual bermula pada harga $29,995 (RM123,501) bagi versi dua-pintu dan $34,695 (RM142,848) bagi versi empat-pintu, turut ada ialah varian lain seperti Big Bend, Black Diamond, Outer Banks, Wildtrak dan Badlands. Turut ada ialah versi First Edition terhad kepada 3,500 unit.

Ikon yang dilahirkan semula ini diproduksi di Michigan Assembly Plant (MAP), yang telah menjalani naik taraf $750 juta (RM3.0 bilion) dan menawarkan tambahan 2,700 pekerjaan untuk melaksanakan pemasangan Bronco ini. Pada tahun 1965, Michigan Truck Plant (sekarang MAP) memulakan pengeluaran Ford Bronco pertama, dan dalam tempoh 31 tahun, Ford telah memproduksi sebanyak 1.1 juta unit Bronco.

Pusat Modifikasi melibatkan kemudahan dalam keluasan 1.7 juta kaki persegi (sebelum ini dikenali sebagai Wayne Assembly Plant) dan terletak bersebelahan MAP. Pelanggan Bronco boleh memilih modifikasi seeprti rak bumbung, bampar depan dengan safari bar dan pekej grafik luaran daripada sekian banyak ubah suai lain dan akan dipasang di pusat modifikasi tersebut.