Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

Ketika Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) mendedahkan Sustainable Experience Architecture (SEA) tahun lalu, satu daripada inovasi utamanya adalah berkaitan ketahanan dan jangka hayat bateri yang akan digunakan untuk kenderaan elektrik untuk platform berkenaan.

Menurut syarikat itu, bateri berkenaan telah diuji untuk mampu mengekalkan penawaran jarak perjalanannya tanpa ada penyusutan sedikit pun bagi sekurang-kurangnya 200,000 km. Dalam kapasiti tenaga penuh 110 kWh, bateri bersepadu modular CTP (cell to pack) yang menawarkan 700 km, lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan kegunaan.

Pek bateri berkenaan boleh membekalkan kuasa kepada motor elektrik dengan output sehingga 475 kW (646 PS atau 637 hp), dan dengan transmisi dua-kelajuan, 8,000 Nm tork roda. Angka kedua ini bukanlah tork sebenar yang dijana oleh motor elektrik, sebaliknya jumlah selepas mengambil kira nisbah gear atau nisbah pacuan.

Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

Selain jarak perjalanan dan output, SEA berkenaan juga menyokong senibina elektrikal 800-volt yang membenarkan pengecasan pantas DC, yang menyaksikan 120 km diperoleh dalam masa hanya lima minit mengecas.

Geely Holding juga mendakwa bateri berkenaan mempunyai jangka hayat 2,000,000 km mengikut keadaan operasi di bawah NEDC — agak berlebihan untuk penggunaan biasa. Bagaimanapun, SEA berkenaan dibangunkan dengan mempertimbangkan untuk digunakan oleh kenderaan komersial, maka bateri yang boleh memberikan bacaan jarak yang tinggi tentulah lebih baik.

Semua ini bunyinya sangat meyakinkan, tetapi adakah bateri terbabit dapat memberikan prestasi itu dalam keadaan cuaca di Malaysia yang panas? Untuk mengetahui hal itu, paultan.org bertanya kepada Kent Bovellan, ketua jurutera senibina SEA di Geely Auto Group, di dalam satu sesi wawancara berkumpulan sebelum ini.

“Berdasarkan data yang ada, janji itu betul. Tidak akan berlaku penyusutan (kapasiti/prestasi) sehinggalah anda mencapai 200,000 km dan itu bagi kebanyakan orang adalah satu jangka hayat normal. Ia boleh mencecah dua juta km sebelum mencapai tahap kesihatan bateri 80%. Semua ini fakta sebenar yang diperolehi dan kami ada setakat ini.”

Bateri Geely SEA EV — jangka hayat 2 juta km, tiada penyusutan jarak sehingga 200k km dalam cuaca M’sia

Beliau menjelaskan yang platform berkenaan menggunakan sistem penyejukan cekap bagi memastikan setiap sel dalam beteri tidak melepasi suhu 45 darjah celsius, tahap di mana penyusutan mula berlaku. Sudah tentu, penyusutan boleh berlaku secara alami dan pengecasan pantas boleh mempercepat proses itu, sama seperti apa yang dilalui oleh bateri telefon pintar.

“Jika anda tidak melepasi sasaran suhu berkenaan, maka tidak akan berlaku penyusutan. Anda perlu mempunyai sistem penyejukan yang cekap, yang diuji secara menyeluruh pada SEA untuk iklim panas seperti di Malaysia. Sudah tentu, dalam suasana iklim lebih panas, anda akan memerlukan lebih tenaga, kerana kami menggunakan sistem AC untuk menyejukkan bateri dan mengekalkannya di bawah 45 darjah Celsius, supaya tidak berlaku penyusutan,” jelas Bovellan.

Jadi, nanti sekiranya kenderaan yang menggunakan senibina bateri SEA ini masuk ke pasaran Malaysia, kita tahu bagawa bateri tersebut memang boleh berdepan dengan cuaca dan iklim di sini untuk memberikan prestasi yang optimum. Bagaimanapun, belum pasti lagi bila EV dengan sistem ini akan tiba di sini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required