Daihatsu kini mempergiatkan usaha bagi menghasilkan kereta yang direka khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia bagi meningkatkan pertumbuhan mereka di pasaran-pasaran penting baharu. Satu contoh terbaik dalam usaha ini adalah Perodua Ativa, yang diasaskan dari Daihatsu Rocky.

Walaupun Rocky pasaran Indonesia yang baru dilancarkan pada April lalu menampilkan rupa dan struktur yang sama seperti model pasaran Jepun, pelbagai aspek dari SUV yang dihasilkan untuk pasaran republik berkenaan sebenarnya ditala semula untuk disesuaikan dengan pemandu tempatan, dan ia diambil dari Perodua Ativa di Malaysia, lapor Nikkei.

Menurut Nobuhiko Ono, naib ketua pegawai di divisi pengurusan penyelidikan dan pembangunan Daihatsu, input-input berkenaan diperolehi dari tinjauan dan juga ujian yang dibuat pada unit penilaian. “Malaysia mempunyai banyak lebuh raya, kereta biasanya bergerak dalam kelajuan tinggi. Kami perlu cari jalan untuk menangani perkara tersebut,” katanya.

Ono meneliti maklum balas apa yang diperlukan oleh pemandu-pemandu tempatan dan membuat keputusan untuk memperbaiki respon brek pada kenderaan tersebut, menyimpulkan bahawa pemandu akan berasa kurang selamat jika brek memberikan respon yang lembut apabila pedal ditekan.

Satu lagi perincian unik adalah butang khas untuk mengunci/buka kunci yang tidak terdapat pada Rocky di Jepun. Butang berkenaan diletakkan pada konsol tengah, di sebelah brek tangan, bagi membolehkan penumpang di tempat duduk hadapan menekan butang berkenaan apabila pemandu keluar dari kereta, mengelakkan orang luar untuk masuk ke kabin dan merampas kenderaan tersebut. “Perincian ini ditambah berdasarkan saranan dari kakitangan tempatan yang menguji model ujian,” kata Ono.

Perubahan turut dibuat pada suspensi untuk Ativa dan juga Rocky pasaran Indonesia. Daihatsu menggunakan tinjauan pasaran dan juga rutin ujian produksi Ativa di Malaysia untuk talaan semula suspensi Rocky di Indonesia bagi memastikan ia boleh digunakan dengan baik pada permukaan jalan yang kasar, mengambil kira faktor banyak jalan kawasan luar bandar yang masih belum diturap.

Model-model ini telah menunjukkan prestasi awalan yang baik – di Malaysia sahaja jualan Ativa sudahpun mencecah 4,000 sehingga 5,000 unit sebulan. Model-model yang diproduksi di Indonesia pula akan dieksport ke 50 pasaran baharu penting yang lain, termasuk Asia Tenggara dan Amerika Latin dalam bentuk Toyota Raize.

Ono turut mendedahkan bagaimana dia menolak desakan pasukan rekaan untuk menghasilkan model yang lebih besar ketika pembangunan SUV tersebut mula dibangunkan pada tahun 2017. Ono percaya Daihatsu perlu menggunakan kepakaran mereka dalam menghasilkan kereta-kereta bersaiz keci bagi membezakan produk mereka dengan model-model dari pengeluar lain.

Hasilnya, Rocky muncul dengan saiz tidak sampai 1.7 meter lebar dan empat meter panjang, hanya sedikit besar dari standard maksimum kenderaan mini Jepun. Ativa pula sedikit lebih panjang dan lebar kerana rekaan bampar yang berbeza serta sedikit lebih tinggi kerana talaan spesifik suspensinya untuk Malaysia.

“Wanita dan golongan berusia tidak gemarkan SUV kerana mereka fikir ia sukar untuk dipandu dalam kawasan sempit. Kami fikir SUV kecil boleh menarik minat mereka,” kata Ono dan jangkaannya itu terbukti benar. Rocky telah menerima tempahan sebanyak 10,500 unit atau sekitar lima kali ganda lebih banyak dari yang disasarkan pada November 2019, bulan pertama ia diperkenalkan di Jepun.

Daihatsu berharap mereka akan terus berjaya dengan mempercepatkan usaha bagi membangunkan lebih banyak model untuk pasaran penting baharu, dengan sasaran untuk menambah 10 lagi model menjelang 2025. Perkara ini boleh dilakukan dengan pantas serta menggunakan kos yang rendah dengan platform kereta kompak modular baharu mereka iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Dengan platform DNGA dan juga konsep “kecil berganda sama dengan besar”, ia dapat mengurangkan masa dan kos untuk membangunkan sesebuah model baharu sebanyak 30%, sekaligus dapat melancarkan model-model baharu dengan lebih cepat, contohnya seperti Rocky/Ativa.

Ketika Daihatsu mensasarkan untuk menghasilkan sebanyak mungkin kemajuan sebelum pasaran-pasaran baharu yang penting ini mula menggunakan elektrifikasi secara serius, laporan tersebut turut menyatakan bahawa syarikat berkenaan turut akan menggunakan kelebihan CASE (connected, autonomous, shared, electric) yang sudah tersedia pada platform DNGA bagi membangunkan model-model dengan teknologi elektrifikasi.

Tiada perincian berkenaan garis masa untuk model-model dengan teknologi elektrifikasi tersebut akan diperkenalkan, namun yang paling hampir mengikut laporan sebelum ini adalah Rocky Hybrid yang dijangka akan didedahkan di Jepun pada tahun ini.