Selepas dipertontonkan kepada wakil media April lalu, WMoto Xtreme 150i kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM9,588 tidak termasuk insurans. Model yang mensasarkan terus Honda ADV 150 sebagai pesaing ini juga mendakwa mendapat lima bintang dalam Program Penilaian Motosikal (MyMAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS).

Pengiktirafan ini dicapai melalui empat kriteria utama – pematuhan kepada peraturan UN ECE, kesesuaian pengeluaran, ciri teknologi keselamatan serta program sokongan. Antara yang membantu adalah Xtreme 150i mempunyai brek ABS two-channel, sementara pesaingnya, ADV 150 cuma mempunyai ABS single-channel.

Xtreme 150i digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 149.3 cc yang menghasilkan kuasa 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.8 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini mendapat penarafan emisi Euro 4 dan dilengkapi dengan sistem start-stop untuk membantu penjimatan bahan api.

Satu lagi kelebihan ketara Xtreme 150i adalah tangki bahan api yang besar, iaitu 11 liter di mana sekiranya mengikut kiraan teori, boleh membawa kepada perjalanan sejauh 400 km. Rim menggunakan saiz 14 inci, sementara suspensi pula terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

Skuter ini juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti semua lampu jenis LED bersama DRL, meter LCD digital penuh, dua soket kuasa (satu 12V dan satu lagi USB) serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

Secara keseluruhannya, Xtreme 150i mencatat berat 143 kg, dengan tinggi tempat duduk 765 mm dan jarak dari tanah 180 mm. Ada dua warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu merah dan kelabu, dan setiap satunya datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

GALERI: WMoto Xtreme 150i