TUNGGANG UJI: Honda ADV 150 – menyinar pada bahagian yang bukan boleh dilihat, perlu dirasa

TUNGGANG UJI: Honda ADV 150 – menyinar pada bahagian yang bukan boleh dilihat, perlu dirasa

Honda dalam masa beberapa tahun yang lepas semakin kerap menghasilkan motosikal yang dikategorikan sebagai produk gaya hidup (lifestyle). Ini boleh dilihat melalui pengenalan model seperti Monkey 125, Grom 125 (MSX 125), SuperCub C125 dan pelbagai lagi.

Tiada masalah untuk pengeluar melabelkan motosikal mereka sebagai produk “lifestyle“, tetapi akibatnya kepada pengguna, ia menjadi lebih mahal sedangkan ada masanya, kelengkapan pada motosikal itu tidak seberapa pun. Cara mereka meletakkan justifikasi kepada perkara tersebut adalah dengan menyatakan ia mempunyai keunikan tersendiri, termasuklah nama yang sudah terkenal.

Pada tahun 2019, satu lagi model yang tergolong dalam produk gaya hidup ini diperkenalkan oleh Honda, iaitu ADV 150. Pasaran pertama yang menerimanya adalah Indonesia dan akhirnya awal tahun ini ia tiba di Malaysia dengan harga RM11,999 tidak termasuk insurans.

Keistimewaan yang diketengahkan oleh model ini adalah ia sebuah skuter tetapi dengan konsep seperti jentera adventure. Yamaha juga ada skuter gaya hidup, iaitu NVX 155, tetapi ia membawa gaya yang lebih sporty, bersesuaian dengan kegunaan atas jalan biasa.

ADV 150 mungkin terhasil apabila Honda menyedari konsep sama yang diguna pada model lebih besar, iaitu X-ADV 750 mendapat sambutan ramai di seluruh dunia. Bagi mengikuti konsep ini, Honda telah menjadikan badan ADV 150 lebih menegak, mempunyai penghadang angin di hadapan, suspensi lebih panjang serta tayar yang menggunakan bunga kasar.

Namun sebenarnya, adakah kedudukan skuter ini betul-betul tinggi daripada biasa? Bagi model kapasiti rendah seperti ini, pengeluar jarang menyiarkan jarak gerak suspensi, tetapi kita masih boleh melihat kepada dimensi lain untuk dibuat perbandingan.

Dua kiraan lain yang penting adalah tinggi tempat duduk dan jarak kelegaan dari tanah. Bagi ADV 150, ia mencatat 795 mm dan 165 mm. Tiada lagi skuter adventure di dalam kategori yang sama, jadi melihat kepada pesaing lain, contohnya NVX 155, ia pula mencatat 791 mm dan 142 mm.

Apabila dibandingkan pula dengan kapcai biasa, seperti RS150R – yang apabila atas jalan pun boleh dilihat tinggi berbanding kapcai biasa – ia masing-masing mempunyai jarak dari tanah 786 mm dan tinggi tempat duduk 150 mm. Bermakna, memang benar ADV 150 lebih tinggi berbanding model kapasiti rendah biasa.

Tapi, jika anda mahu tahu bagaimana kedudukan sebenar model adventure atau yang boleh dibawa masuk offroad tanpa sebarang perasaan risau, anda lihat kepada CRF250 Rally. Model yang mempunyai binaan jentera adventure tipikal ini mencatat tinggi tempat duduk 895 mm dan jarak dari tanah 270 mm – agak jauh berbanding ADV 150.

Daripada nombor-nombor ini, kita sepatutnya sudah tahu, ADV 150 bukanlah boleh diperlakukan seperti jentera adventure biasa, seperti meredah lopak-lopak dalam atau melompat apabila melanggar bonggol, tetapi Honda setakat menjual anda idea itu melalui penampilannya sahaja. Kalau diikutkan kemampuan offroad, ia sekadar boleh melakukan perkara yang sama seperti kapcai biasa. EX5 juga boleh dibawa ‘offroad‘.

TUNGGANG UJI: Honda ADV 150 – menyinar pada bahagian yang bukan boleh dilihat, perlu dirasa

Sekiranya anda memiliki ADV 150 ini, atau bercadang mahu membelinya, kemudian, mahu membawanya ke jalan-jalan offroad, saya sarankan hati-hati dengan kelajuan pergerakan anda dan janganlah terperdaya dengan idea adventure itu, sebelum motosikal anda rosak. Setakat yang saya cuba, fork hadapan memang mudah untuk terhentak habis (bottom out) tetapi bahagian bawah tidaklah tersangkut apa-apa (sekadar jalan berpasir yang tidak rata).

Bagaimana pula kalau anda mahu berseronok atas jalan tidak berturap dengan melakukan powerslide? Lupakan saja. Kuasa enjin satu silinder SOHC 149.3 cc pada ADV 150 ini cuma 14.6 hp dan 13.9 Nm tork dan ia tidak mampu untuk memberikan putaran mengejut apabila anda memulas pendikit, demi menghasilkan gelinciran. Apatah lagi, ia menggunakan transmisi automatik dengan tali sawat.

Di atas jalan biasa, kuasa yang dihasilkan oleh enjin ini juga tiada apa-apa yang istimewa. Saya merasakan ia lebih ke arah penyampaian lembut dan model skuter Yamaha seperti NVX 155 dan NMax 2020 rasa lebih berkuasa dan pantas. Untuk laju maksimum, saya cuma mendapat 116 km/j dan kuasanya dihadkan sampai tahap itu sahaja dan sudah menjadi tersengguk-sengguk.

Jadi, dengan semua yang saya beritahu ini, adakah ADV 150 langsung tidak mempunyai sebarang keistimewaan, selain penampilannya yang itu juga bergantung kepada cita rasa seseorang? Tidak juga, kerana bagi saya, keistimewaan ADV 150 ada pada bahagian yang tidak boleh dilihat secara terus.

Perkara pertama yang saya gemar pada skuter ini adalah kedudukan menunggangnya. Bagi seseorang yang mempunyai ketinggian 180 sm seperti saya, kedudukan yang disediakan oleh ADV 150 sangat menyenangkan. Semuanya terasa padan, termasuklah kedudukan pemegang, peletak kaki serta tempat duduk. Ciri ergonomik skuter ini memang boleh dipuji.

Tambah memuaskan, tempat duduk serta suspensi skuter ini juga agak selesa. Bukan hanya saya sahaja yang mengatakan begitu, malah penumpang belakang juga tidak memberikan sebarang rungutan. Ini berbeza berbanding NVX 155 yang pernah saya miliki sebelum ini, serta NMax baru di mana suspensi belakang standard padanya dirasakan agak keras.

Sejujurnya, dua perkara ini lah yang membuatkan ada sedikit rasa terdetik mahu membeli skuter ini. Walaupun saya meletakkan suspensi ADV 150 ini lebih kepada arah keselesaan, ia masih boleh mengambil selekoh dengan yakin tanpa banyak rasa berbuai. Tayar Federal bersaiz 110/80 dan 130/70 dengan rim masing-masing 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang juga tidak memberi sebarang masalah atas permukaan kering.

Sesuai dengan harganya, ADV 150 didatangkan dengan beberapa kelengkapan canggih seperti sistem tanpa kunci, penggera keselamatan serta panel instrumen digital sepenuhnya (LCD). Bagi sistem tanpa kunci itu, ia berfungsi baik di mana sepanjang masa, kuncinya saya letakkan di dalam beg sahaja dan tidak sekali pun ia memberi masalah pengesanan untuk menghidupkan atau mematikan enjin.

Kemudiannya bagi panel instrumen, ia cukup lengkap dengan bukan sahaja memaparkan informasi penting seperti jarak perjalanan, tahap bateri dan minyak, penggunaan bahan api serta jam, malah juga tarikh. Satu perkara yang sedikit mengganggu, anda perlu menekan butangnya agak kuat untuk menukar paparan atau menetapkan semula (reset) bacaan tertentu.

Selain daripada itu, ADV 150 juga datang dengan lampu jenis LED yang cukup terang, soket pengecas 12, brek cakera hadapan dan belakang (angkup dua piston dan ABS di hadapan), serta sistem Idling Stop (enjin mati apabila berhenti seketika) dengan butang pengaktif di bahagian kanan pemegang.

TUNGGANG UJI: Honda ADV 150 – menyinar pada bahagian yang bukan boleh dilihat, perlu dirasa

Perkara lain yang menjadi kelebihan biasa sebuah skuter adalah ruang simpanan. Bagi ADV 150, di bawah tempat duduknya terdapat ruang 28 liter yang boleh memuatkan sebuah helmet muka separuh serta barangan kecil lain, sementara di bawah pemegang, sebelah kiri terdapat satu lagi ruang simpanan kecil yang berguna untuk anda letakkan peranti sambil mengecasnya. Ruang ini mempunyai penutup, jadi untuk memuatkan sebuah botol air 500 ml juga agak susah.

ADV 150 datang dengan tangki bahan api 8.1 liter (sama seperti PCX 160), yang mana boleh dianggap besar kerana pesaingnya iaitu NMax serta NVX masing-masing cuma dilengkapi tangki 7.1 liter dan 4.6 liter. Sepanjang menggunakannya saya cuma sempat menghabiskan separuh tangki sahaja, dengan penggunaan bahan api purata 36.2 km/l (tunggangan biasa, tidak terlalu agresif) dan mengikut perkiraan kasar, ia boleh pergi hampir 300 km untuk isian penuh. Seperti biasa, penggunaan bahan api ini bergantung kepada cara anda memulas pendikit.

Lagi, keistimewaan ADV 150 adalah ia dilengkapi dengan penghadang angin yang boleh dilaras secara manual (pulas dua tombol di bahagian tepi dan naik atau turunkan), pada dua kedudukan. Walaubagaimanapun, bagi saya, ia tidak memberi sebarang kesan kerana tolakan angin pada kedua-dua kedudukan masih lagi sama kuat.

Begtiulah pandangan saya berkenaan Honda ADV 150. Ramai yang berminat dengannya, sehingga sekarang ini dengarnya waktu menunggu boleh mencecah sehingga dua bulan, tapi anda harus ingat bahawa ia cuma sebuah skuter dengan gaya sahaja ala adventure. Bagi anda macam mana? Apa yang membuatkan anda tertarik?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required