Honda ADV 150 di Indonesia – perincian spesifikasi, harga lebih murah berbanding PCX Hybrid

Honda ADV 150 di Indonesia – perincian spesifikasi, harga lebih murah berbanding PCX Hybrid

Honda secara tiba-tiba menyerang pasaran dengan dua model kapasiti rendah yang menarik. Selepas Winner X di Vietnam hujung minggu lepas, pengeluar dari Jepun ini memperkenalkan pula ADV 150, yang merupakan sebuah skuter bergaya adventure seperti X-ADV 750.

Semalam kami telah memuat naik galeri gambar skuter baru ini, tapi sekarang, lihat pula spesifikasi penuhnya yang baru sahaja didedah malam tadi. Paling penting adalah harga, iaitu di Indonesia, ia dijual bermula 33.5 juta rupiah (RM9,908) untuk versi CBS-ISS dan 36.5 juta (RM10,795) untuk versi ABS-ISS.

Melihat kepada harga ini, dalam barisan produk yang ditawarkan oleh Honda di Indonesia, ADV 150 mempunyai harga lebih mahal berbanding Vario 150 (23.6 juta rupiah atau RM6,986) dan PCX 150 ABS (31.68 juta Rupiah atau RM9,371), tetapi masih lebih rendah berbanding PCX Hybrid (42.1 juta Rupiah atau RM12,463).

ADV 150 dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 149.3 cc, yang dipadankan bersama transmisi automatik, mampu menghasilkan 14.5 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah lebih berkuasa berbanding Vario 150 dan hampir sama seperti PCX 150.

Bahagian enjin mungkin kelihatan seperti biasa, tetapi ADV 150 mempunyai pelbagai kelengkapan lain yang menjadikannya menarik, terutamanya berbanding pesaing lain dalam segmen sama seperti penghadang angin hadapan yang boleh dilaras, semua lampu jenis LED bersama DRL di depan, penyerap hentak Showa dengan tabung di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan angkup Nissin dan tangki bahan api 8.0 liter.

Untuk sistem brek, seperti yang boleh dilihat pada harganya, ADV 150 ini ditawarkan sama ada dengan brek jenis CBS (Combined Brake System) atau ABS (Anti-lock Braking System). Walaupun sistem brek berbeza, kedua-duanya masih juga akan dilengkapi dengan ISS (Idling Stop System).

Honda ADV 150 di Indonesia – perincian spesifikasi, harga lebih murah berbanding PCX Hybrid

Daripada aspek kemudahan, ADV 150 menawarkan ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk, soket pengecas USB dalam poket di bawah bahagian pemegang, sistem kunci pintar serta panel paparan digital penuh dengan informasi seperti laju, penggunaan bahan api, tahap bateri dan minyak, jam serta tarikh.

Berat keseluruhan skuter ini ådalah 132 kg untuk versi CBS dan 133 kg untuk versi ABS, manakala tinggi tempat duduknya pula adalah 795 mm. Rimnya pula menggunakan saiz berlainan iaitu bersaiz 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80 dan 13 inci di belakang dengan tayar 130/70.

GALERI: Honda ADV 150 di GIIAS 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required