Volkswagen Amarok dah cukup lama berada dalam pasaran dan usianya juga sudah cukup tua. Pertama kali diperkenalkan pada 2010, dan memang akan ada model barunya dalam perancangan, yang menggunakan asas Ford Ranger. Ford mengetuai projek tersebut, tetapi Volkswagen menjanjikan perbezaan ketara antara keduanya. Model ini dijangka dilancarkan di Australia pada 2023.

Sementara itu, interprestasi terhadap trak pikap ini masih diteruskan oleh mereka yang berminat. Di Australia, di mana Amarok mempunyai peminat yang ramai, Volkswagen telah bekerjsama dengan Walkinshaw untuk menyuntik penampilan baru bagi model lama tersebut. Penala tempatan itu sebelum ini membikin W580 tahun lepas. Kini, mereka menumpukan perhatian untuk W580X off-road ini pula.

Menurut laman CarExpert, W580X ini hanya akan dijual pada April 2022, dan ia merupakan versi off-road bagi W580 dan W580S yang lebih cenderung untuk jalanan. Ini semisal lawan kepada model seperti Ford Ranger Raptor, Toyota Hilux Rugged X dan Nissan Navara Warrior.

Amarok W580X memanfaatkan suspensi depan yang lebih tinggi, penyerap hentak dwi-tabung MTV untuk off-road, rock slider, serta plat penampan dengan nama Amarok. Pelindung bawah badan Seikel serta snorkel pilihan juga ada, dan juga rim aloi diperkukuh 18-inci dengan tayar AT.

Turut termasuk dalam kelengkapan standardnya ialah rekaan gril depan baru, perincian pada bampar, lampu kabus LED, kemasan kerusi velour dengan jenama Walkinshaw, kerusi depan dengan penghangat, lampu depan bi-xenon dengan DRL LED, kawalan pendingin dwi-zon, stereng dengan suis multi-fungsi dengan paddle shifter, perumah cermin sisi dan bampar hitam, peninjau tekanan tayar serta lampu palang LED di bawah nombor plat.

Tiada perubahan untuk enjin, masih menggunakan unit 3.0 liter V6 turbodiesel dengan 255 hp dan 580 Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem 4Motion AWD.