Diperkenalkan kepada dunia Januari lalu, KTM 1290 Super Adventure S 2021 kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM132,900 tidak termasuk insurans. Bahagian utama yang dipertingkat pada model ini adalah ergonomoik dan elektronik, dengan pengeluar dari Austria itu mendakwa ia kini adalah model adventure paling canggih pernah mereka hasilkan.

Ergonomik yang dimaksudkan bukan sahaja memberi fokus kepada keselesaan, tetapi juga pengendalian motosikal. Pembahagian berat diperbaiki, tapak stereng ditarik ke belakang 15 mm, bahagian depan enjin dilaras, lengan ayun lebih panjang dan subframe dibentuk semula supaya tempat duduk lebih rendah.

Setiap panel badan diukur supaya tidak mengganggu sensasi tunggangan dan kini ia dilengkapi dengan tangki bahan api 23 liter. Tempat duduk serta penghadang angin boleh dilaras pada beberapa kedudukan dan bahagian kokpit dijadikan lengkap dengan panel instrumen TFT 7.0 inci serba baru.

Untuk bahagian elektronik, tetapan kawalan cengkaman dalam setiap mod iaitu Rain, Street, Sport, Offroad dan Rally (pilihan tambahan) dilaras kembali supaya tidak terlalu agresif. Suis kawalan pada bahagian pemegang juga adalah baru.

Satu teknologi baru yang diletakkan pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah Adaptive Cruise Control, yang dibangunkan bersama Bosch. Sistem ini menggunakan radar yang terletak di hadapan motosikal dan penunggang boleh memilih lima tetapan jarak di antara kenderaan hadapan waktu meluncur sendiri atas lebuh raya.

Enjin masih lagi menggunakan unit v-twin 1,301 cc berkuasa 160 hp dan 138 Nm tork, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, tetapi ia dijadikan lebih ringan (-1.6 kg) hasil penggunaan casing lebih nipis dan kini menepati tahap emisi Euro 5. Melengkapkan naik taraf pada bahagian enjin adalah piston baru yang lebih tahan serta radiator dan saluran air baru.

Kelengkapan lain pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah termasuk suspensi semi aktif WP SAT, steering damper WP, cakera brek berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 267 mm di belakang, tayar Mitas Terra Force-R serta klac slipper PASC.

Turut dipasang pada model ini adalah Motorcycle Traction Control, Cornering ABS, Offroad ABS, pemerhati tekanan angin tayar (TPMS), penunjuk arah automatik dan sambungan KTM MyRide (pilihan tambahan).