MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

Apa yang anda lihat ini adalah MINI Strip, satu model konsep yang menggunakan asas daripada Cooper SE, dan diterapkan secara menyeluruh dengan konsep “Ringkas, Telus, Mapan.” Ia adalah hasil daripada kerjasama antara MINI dengan pereka terkenal, iaitu Paul Smith, dan kedua-dua pihak menyumbangkan idea masing-masing untuk sebuah rekaan yang boleh tahan lama.

“Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang memikirkan semula MINI yang ikonik ini. Saya kenal dan suka kereta sekarang, tetapi dengan memberi penghormatan kepada masa lampau dan melihat ke masa hadapan, kami dapat menghasilkan sesuatu yang istimewa,” kata Smith.

“Saya rasa sangat dihargai kerana pasukan MINI telah memberikan saya keyakinan dan kebebasan untuk memikirkan pendekatan merekabentuk kereta ini. Bersama-sama, saya rasa, kami telah mencipta sesuatu yang unik, dengan pergi semula kepada asas, mengurangkan barang dan membogelkan kereta ini,” tambah beliau.

Pada bahagian luar, badan kereta ini dibiarkan tanpa cat berwarna demi menunjukkan bahan asal yang digunakan. Kesan gosokan dari kilang juga dibiarkan pada plet besi galvanised yang digunakan, dan kesan ini dipanggil oleh Smith sebagai “ketidaksempurnaan yang sempurna”.

MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

Walaupun tidak mempunyai cat yang berwarna, badan kereta ini disembur dengan cat lutsinar khas demi melindunginya daripada karat, serta beberapa sentuhan istimewa lain. Sebagai contoh, penutup bahagian mengecas diukir dengan gambar palam elektrik rekaan sendiri Smith, dan menampakkan warna hijau neon apabila dibuka.

Kemudiannya, kemasan plastik yang anda boleh lihat pada bahagian lengkuk roda, skirt serta bawah bampar dibuat menggunakan cetakan 3D daripada bahan plastik kitar semula dan skrunya dibiarkan nampak. Rekaan ini berkait dengan minat Smith terhadap basikal, yang mana barangnya mudah dicabut secara berasingan untuk ditukar atau diubah suai.

Satu lagi bahan kitar semula yang digunakan pada MINI Strip ini adalah Perspex, iaitu pada bahagian gril, penutup rim dan yang paling besar, pada bahagian bumbung, sekaligus menampakkan bahagian dalam kenderaan dan juga struktur penyokongnya.

Berkenaan dengan bahagian itu, Smith mahukan kabin berwarna biru, bukan sahaja supaya ia menyerlah, tetapi juga bagi memberikan “semangat” kepada bahagian yang biasanya ditutup. Ini sekaligus memberikan bahagian dalam satu tarikan yang tersendiri.

Papan pemuka Cooper SE tidak lagi digunakan pada model ini. Ia sebaliknya diganti dengan unit separa lutsinar dengan kemasan kaca yang digelapkan, sementara di bahagian tengah terdapat tempat meletakkan telefon untuk menggantikan sistem infotainmen.

Telefon itu kemudiannya disambungkan secara automatik kepada kereta dan menjadi pusat pengawal media, manakala butang fizikal diletakkan lebih rendah di bawah, berhampiran suis tingkap dan butang pemula enjin.

Buka sahaja pintu, anda akan nampak penggunaan jalur unik Paul Smith, yang menggunakan lima warna. Tiada balutan kulit atau kemasan krom di bahagian dalam, dan ia diganti dengan bahan kitar semula termasuk pada fabrik balutan tempat duduk dan getah alas kaki.

Bahagian atas papan pemuka, atas pintu, penghadang cahaya matahari dan papan belakang semuanya dibuat daripada gabus kitar semula (penutup botol wain), yang mempunyai liang pori seperti fabrik yang dikait.

MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

Untuk pemandu, roda stereng dijadikan seringkas yang boleh, dan bahagian kelilingnya dibalut dengan getah seperti yang digunakan pada pemegang basikal. Ia mempunyai tiga cabang aluminium, dengan skru yang terdedah, jalinan plastik khas bagi menutup bahagian beg udara dan disudahi dengan label Paul Smith kecil.

Jalinan plastik yang sama digunakan pada panel pintu, dan ia boleh memberikan pandangan jelas kepada bahagian dalamnya. Ikatan tali paracord dijadikan sebagai pengganti penarik pintu, dan ia menggunakan warna oren sama seperti tali pinggang. Anda juga boleh saksikan, disebabkan tiada panel plastik yang menutupi rangka kereta ini, gumpalan wayar juga boleh dilihat pada bahagian atas.

“Bagi saya, MINI Strip ini mempamerkan secara menakjubkan bagaimana MINI dan Paul Smith berkongsi cara pemikiran berani berkenaan inovasi dan rekaan ada masa hadapan – dan bersama, kami mencipta lebih lagi. Paul telah bertanyakan pelbagai soalan penting pada permulaan proses menghasilkan rekaan, seterusnya menghasilkan satu perspektif yang segar,” kata ketua bahagian rekaan MINI, Oliver Heilmer.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required