Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

Nissan Note Aura merupakan model yang diasaskan dari Note generasi ketiga, tetapi tampil dengan rupa yang lebih bergaya, dilancarkan di Jepun Jun lalu. Dan sekarang, sayap rasmi perlumbaan Nissan iaitu Nismo memperkenalkan pula Note Aura dengan sentuhan mereka, dikenali sebagai Note Aura Nismo.

Model ini akan mula dijual di Jepun bermula pada musim luruh ini dengan harga 2,869,900 yen (RM111,257), dan menurut Nissan ia diinspirasikan dari jentera lumba Formula E mereka serta direka dengan tema “pelumba elektrifikasi dalam bandar yang pantas”.

Model ini masih mengekalkan bentuk asas Note Aura kemudian diberikan pelbagai sentuhan Nismo bagi memberikan imej yang jauh lebih garang. Bampar hadapan asal telah ditukar dengan bampar baharu menampilkan kemasan hitam menempatkan lampu nyalaan siang yang bersambung dengn liang udara tengah, bersama “bilah sisi” tebal menegak dan juga spoiler bawah dengan serlahan merah.

Nissan Note Aura Nismo 2022 dilancarkan di Jepun – 136 PS/300 Nm, rupa dan prestasi dipertingkat, RM111k

Kit badan Nismo untuk model ini turut menampilkan skirt sisi lebih menyerlah, dan juga bampar belakang lebih agresif dengan kemasan hitam juga bersama bilah sisi serta serlahan-serlahan merah bersama lampu brek di tengah seperti kereta lumba. Menurut Nissan, kit badan ini memberikan aerodinamik daya downforce yang dioptimakan bagi memberikan lebih kestabilan dalam kelajuan tinggi.

Penampilan luaran Note Aura Nismo ini dilengkapkan lencana-lencana Nismo, pelekat pada bonet hadapan, penutup cermin sisi berwarna merah dan juga rim berdiameter 17-inci. Model ini ditawarkan dalam lima warna badan, termasuk empat pilihan dengan tema dua-tona.

Kabin Note Aura Nismo ini juga diberikan sentuhan lebih garang dengan tema warna gelap yang digandingkan bersama serlahan-serlahan merah, kemasan-kemasan gentian karbon dan juga lencana-lencana Nismo. Secara standard, model ini diberikan tempat duduk Nismo dengan upholsterik gandingan fabrik dan kulit sintetik, namun pembeli turut boleh ditawarkan dengan sepasang tempat duduk Recaro secara opsyen.

Sama seperti Nissan Note standard dan Note Aura, model talaan Nismo ini juga hanya ditawarkan dalam versi rangkaian kuasa e-Power. Tayar hadapan Note Aura Nismo ini dipacu terus oleh motor elektrik EM47 yang menghasilkan kuasa 136 PS (134 hp/100 kW) dan tork maksima 300 Nm bermula dari rpm sifar. Namun tiada pilihan sistem pacuan semua roda diberikan seperti pada Note Aura biasa.

Motor elektrik berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri litihium-ion. Bagi yang belum mengetahui, bateri untuk sistem e-Power ini tidak perlu dicaj menggunakan pengecaj seperti kereta elektrik lain, sebaliknya ia akan dicaj semula menerusi enjin petrol HR12DE 1.2 liter tiga silinder berkuasa 82 PS/103 Nm yang berfungsi seakan ‘generator pasar malam’.

Walaupun jumlah kuasa yang dihasilkan pada model Nismo ini sama seperti Note Aura standard, ia diberikan satu mod pemanduan Nismo baharu yang memberikan respon yang lebih berkuasa serta menampilkan pecutan yang lebih pantas. Manakala mod pemanduan Normal dan Eco pada model ini pula telah ditala semula bagi memberikan pemanduan yang lebih selesa.

Pengendalian model ini juga mendapat sentuhan Nismo di mana keseluruhan suspensi telah ditala semula bagi memberikan kestabilan stereng dan kualiti pemanduan lebih baik, penyerap hentak belakang ditukar menggunakan unit tiub mono bagi mendapatkan karekter lebih responsif serta dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 dengan saiz 205/50ZR17 pada rim dengan lebar 7-inci.

Casis Note Aura ini juga diberikan perhatian semula oleh Nismo dimana beberapa bahagian telah diusik bagi meningkatkan ketegaran badan, serta menerima sistem Vehicle Dynamic Control yang dioptimakan.

Kelengkapan lain yang turut diberikan pada Nissan Note Aura Nismo ini termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dilengkapi sistem telematik NissanConnect, Android Auto dan juga Apple Carplay.

Manakala untuk sistem keselamatan, model ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Nissan ProPILOT, menampilkan sistem seperti pemantau titik buta, cruise control adaptif dan juga brek kecemasan automatik.

Pelanggan juga boleh ditawarkan dengan pelbagai aksesori Nismo lain untuk model ini. Antaranya pelbagai kemasan luaran, pelindung pembuka pintu, karpet kaki, karpet untuk ruang storan di belakang, visor tingkap dan pelbagai lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required