Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

Ramai antara kita mungkin tertunggu-tunggu Perodua melancarkan Ativa pada Mac lalu kerana ia adalah alternatif lebih murah dari Proton X50 untuk sebuah SUV segmen-B yang benar-benar moden. Namun untuk ‘kaki-kaki’ ubahsuai Perodua, kehadiran Ativa ini sudah tentu memberikan satu ‘rahmat’ berbeza buat mereka.

Ini kerana berberapa tahun kebelakangan ini Perodua sudah tidak lagi menghasilkan model berasaskan kembar Daihatsu dan Toyota di Jepun, sebaliknya mereka kini aktif membangunkan model tersendiri seperti Myvi generasi ketiga dan Bezza, serta hadir dengan model khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Axia.

Ativa pula boleh dikatakan dihasilkan sebagai model global, menggunakan asas platform modular Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan mempunyai kembar seiras untuk pasaran domestik Jepun (JDM) iaitu Daihatsu Rocky dan juga Toyota Raize.

Jadi boleh dijangka, memang akan ada Ativa yang akan ‘disumpah’ untuk menjadi Rocky atau Raize dalam masa terdekat selepas ia dilancarkan sama macam model-model Perodua berasaskan kembar JDM sebelum ini seperti Kancil, Kenari, Kelisa serta Myvi generasi pertama dan kedua.

Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

Ativa varian tertinggi AV berwarna merah yang ditransformasikan kepada Toyota Raize seperti anda lihat ini adalah kereta kepunyaan Iman dari Klang, Selangor. Apa yang menarik untuk Ativa berbanding model-model ‘Perodua JDM’ sebelum ini adalah ia dilancarkan dalam masa yang hampir sama dengan kembarnya di Jepun, menerima kelengkapan yang sama canggih malah aksesori JDM aslinya boleh dibeli baru dari Jepun tanpa perlu menunggu aksesori terpakai di kedai halfcut.

Dengan kelebihan ini, Iman telah menyarung bodypart lengkap luaran Toyota Raize kepada Ativa miliknya ini, dan ia bukan sekadar bodypart standard, tetapi kit asli Raize Modellista yang lengkap dan diterima dalam keadaan baru dari Jepun! Walau bagaimanapun, skirt sisi Modellista berkenaan masih belum boleh dipadankan pada Ativa ini kerana ia perlu ditukar sekali dengan fender hadapan Raize, yang turut telah ditempah oleh Iman.

Seperti yang diberitahu tadi, Ativa sememangnya menerima spesifikasi yang hampir sama Rocky dan Raize, jadi pemilik yang mahu meng’JDM’kan kereta mereka kini tidak perlu lagi untuk menyalin enjin Jepun, kerana Ativa sudah pun diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo yang sama seperti kembarnya.

Perodua Ativa sumpahan Toyota Raize Modellista!

Namun Iman tidak membiarkan enjin tersebut dalam keadaan standard. Intercooler asal sudah tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan intercooler Sard yang lebih besar, dan Iman tidak segan silu untuk memotong bampar asli dan Modellista berkenaan untuk memuatkan intercooler tersebut.

Iman turut memadankan injap blow-off HKS SQV, manakala sistem ekzos disentuh semula menerusi pemadanan muffler dari Kakimoto Racing bagi menggantikan tabung asal Ativa.

Brek Ativa ini juga menerima tingkat taraf yang agak ekstensif. Iman memilih untuk memadankan sistem brek gergasi AP Racing dengan enam omboh di hadapan, dan brek dram asal belakang juga menerima kit brek cakera AP Racing dengan angkup empat omboh. Manakala satu lagi angkup brek kecil yang anda lihat pada sistem brek belakang Ativa ini adalah khas hanya untuk brek parkir, yang disambungkan terus dengan kabel kepada tuil brek tangan asal.

Set brek AP Racing berkenaan sebenarnya diambil dari kit yang dihasilkan untuk untuk Toyota Vellfire AGH30, dan sebab itulah sistem brek parkir manual tidak boleh dipadankan terus serta knuckle asal dengan empat nat tayar telah berubah kepada lima. Jadi Iman turut meningkat taraf rim asal Ativa ini kepada rim aloi Volks Racing TE37 18-inci. Ini bukan rim replika dari Thailand ya, tapi rim asli dari Jepun dan dibalut dengan tayar Pirelli Cinturato.

Badan Ativa ini juga kelihatan lebih rendah dari standard kerana ia telah menerima set lengkap penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Blitz Damper ZZ-R yang dihasilkan khas untuk Daihatsu Rocky dan Toyota Raize JDM.

Ativa juga secara standard telah diberikan dengan papan pemuka dan panel meter digital yang seiras dengan Raize. Jadi untuk bahagian dalaman, Iman hanya menggantikan kesemua tempat duduk Ativa dan juga karpet kaki dengan komponen asli dari Raize. Iman turut sedang menunggu berberapa komponen lain dari Jepun seperti roda stereng Raize dengan logo Toyota di tengah serta kemasan-kemasan dalaman Modellista bagi melengkapkan transformasi ini.

Selain itu, Iman turut telah memadankan set lengkap meter tambahan Defi Advance A1 yang diletakkan di tengah papan pemuka, memberikan bacaan suhu cecair penyejuk enjin, boost turbo, suhu minyak pelincir dan juga tekanan minyak pelincir.

Sistem audio Ativa ini juga menerima tingkat taraf dengan kesemua pembesar suaranya telah ditukar kepada sistem dari Carrozeria. Menurut Iman, skrin utama Ativa ini masih lagi standard kerana Carrozeria masih belum melancarkan pemain utama yang dihasilkan untuk Rocky dan Raize di Jepun.

Gambar-gambar yang kami paparkan ini merupakan set yang kami terima dari Iman. InsyaAllah setelah projek ini lengkap sepenuhnya, dan keadaan semasa kembali pulih untuk kami bergerak merentas sempadan, kami akan aturkan sesi penggambaran lengkap untuk Ativa Iman ini, serta memberikan perincian lebih lengkap kepada anda.

GALERI: Toyota Raize JDM lengkap dengan kit Modellista

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required