Makin menarik penawaran yang dibuat pada Toyota Raize. Selepas diperkenalkan secara rasmi minggu ini, model SUV kompak berkenaan kini ditampilkan pula dalam kit aksesori Toyota Modellista selepas versi penggayaan kit TRD yang turut diumumkan.

Bagi versi Modellista ini, terdapat dua gaya ditawarkan, pertama dipanggil Advance Blast Style dan satu lagi dikenali sebagai Elegant Ice Style. Pilihan pertama menampilkan wajah depan yang unik dan dinamik bagi Raize – melibatkan spoiler depan dengan lampu LED bersepadu, skirting sisi dan skirting belakang.

Sementara yang kedua pula hadir dengan gaya yang sedikit berbeza, walaupun melibatkan aksesori bahagian yang sama – spoiler depan, skirting sisi dan skirting belakang – namun tidak terlalu ketara seperti pada Advance Blast.

Kedua-dua gaya ini boleh disudahi dengan beberapa lagi kemasan untuk melengkapi imejnya – melalui Cool Shine Kit. Ia terdiri daripada spoiler belakang yang lebih menonjol, hujung muffler, aero plate di tepi pintu ruang barangan belakang serta kemasan krom pada gril depan dan sisi pintu/pintu belakang.

Selain itu, pilihan rim juga ada dua. Yang pertama, 18-inci dua-tona dengan lima jejari dikenali X-Claw II, yang datang dengan tayar Falken Ziex ZR914F, yang di dalam gambar ini digunakan bersama kit Advance Blast. Satu lagi rim pula dalam saiz 16-inci seperti yang dilihat pada gaya Elegant Ice.

Kemasan dalaman unik turut diperkenallkan untuk Raize, misalnya set kemasan panel kayu dalam warna kelabu atau coklat. Selain itu ada juga pilihan bagi set panel metalik, lengkap dengan pencahayaan LED biru. Sistem pencahayaan kabin juga boleh ditukar kepada unit LED. Bagi yang memilih kemasan kayu, ia juga datang dengan pelapik khas untuk ruang barangan belakang.

Toyot Raize merupakan model rebadge kepada Daihatsu Rocky dengan sedikit perbezaan penampilan; model Daihatsu berkenaan baru saja diperkenalkan juga dalam minggu ini. Ia menggunakan paltform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan kotak gear D-CVT.