Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

Apa pun yang mempunyai roda dan juga enjin, pasti ada saja yang ‘gatal tangan’ untuk dijadikan objek untuk diubahsuai. Van, yang biasanya digunakan sebagai kenderaan komersil bagi mengangkut barang-barang turut tidak terlepas dari perkara ini.

Dengan ruang yang luas, van biasanya diubah sebagai kenderaan ‘camper’ untuk mengembara. Malah ada juga yang cenderung untuk memberikan imej lebih sporty kepada kenderaan ini. Namun disebabkan van mempunyai titik graviti yang tinggi secara semula jadi, jarang ada pihak yang berminat untuk mengubahsuai van untuk dijadikan jentera lumba.

Antara van yang pernah berlumba seingat penulis adalah Toyota Liteace yang dijana enjin 4G63T 2.0 liter turbo hasil ubahsuai tuner dari selatan tanah air, yang sentiasa merisaukan jentera-jentera drag lain di litar Pasir Gudang pada era 90’an dan awal Y2K.

Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

Van Toyota Hiace H200 yang anda lihat ini mungkin sesuatu yang baharu – ia adalah jentera milik pasukan Cast Racing dari Jepun, yang didakwa sebagai van rali pertama di dunia oleh pasukan tersebut. Pasukan rali Cast Racing ini membuat kemunculan rasmi mereka di Jepun pada bulan Mac lalu, dan van rali ini dibangunkan untuk menyertai Kejuaraan Rali Seluruh Jepun dalam kategori JN3, serta pelbagai rali-rali domestik lain sekitar Jepun.

Cast merupakan pengedar peralatan-peralatan prestasi untuk Toyota Hiace H200, yang dibangunkan oleh Sanko Works Co., Ltd. dan juga Marutoku Shokai Co., Ltd. Oleh itu, pasukan Cast Racing ini ditubuhkan untuk menguji dan terus membangunkan produk-produk berkenaan melalui input yang akan mereka terima menerusi rali yang sememangnya diadakan di jalan raya awam dengan permukaan yang lasak.

Pasukan berkenaan telah membina dua buah Hiace yang diasaskan dari model yang dijana oleh enjin petrol 2.0 liter bersama kotak gear manual, yang masing-masing diberi nama Cast Racing Sanko (serlahan atas cermin dan kemasan bampar berwarna kuning) dan juga Cast Racing Marutoku (serlahan merah jambu).

Oleh kerana ia adalah jentera yang bertanding dalam kategori produksi JN3, sepatutnya Hiace ini masih dijana enjin asal yang menjana 136 hp dan tork maksima 182 Nm. Ia kemudiannya diberikan pelbagai peralatan prestasi seperti set suspensi boleh laras sepenuhnya Neo Tune keluaran Sanko Works, kit lowering block dan juga bush untuk spring jenis dedaun belakang bagi memberikan lebih kestabilan pada van berkenaan ketika dipandu laju dalam SS rali.

Ia turut menerima tingkat taraf sama seperti jentera rali lain termasuk pemadanan rollcage, tempat duduk perlumbaan Bride Low Max, tali pinggang dan roda stereng perlumbaan dari Sparco, set tuil brek tangan khas untuk hand brake turn, pemadam api dan pelbagai lagi.

Untuk musim penuh Kejohanan Rali Seluruh Jepun (JRC) 2021, Cast Racing Sanko dipandu oleh Takahiro Kitami iaitu salah seorang pengarah di Sanko Works sendiri, dan dibantu oleh juruarah Masahiko Kihara yang juga bertugas di ibu pejabat Nissan Motor Global Design.

Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

Cast Racing Marutoku pula dipandu oleh jurnalis automotif Jepun, Mitsuhiro Kunisawa dan dibantu juruarah wanita, Eri Ohnishi. Selain dari JRC, Hiace Cast Racing Marutoku ini juga akan bertanding dalam siri kejuaraan GR Rally di Jepun, menampilkan pasangan wanita, Asami Itakura (pemandu) yang juga staf di Marutoku Shokai dan juga Momo Tsukishima (juruarah).

Walaupun Toyota Hiace kini sudah diperkenalkan dengan model generasi terbaharu H300, model generasi H200 ini masih dijual secara serentak di bilik-bilik pameran Toyota di Jepun kerana permintaan terhadapnya masih lagi tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required