Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengesahkan lebih banyak kelonggaran bakal diberikan termasuk pergerakan rentas negeri dalam tempoh terdekat ini. Katanya, perbincangan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.
“Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan. Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi.
“Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi. Ada beberapa negeri yang nilai ambang vaksinasi masih rendah, justeru menjelang September semua negeri akan capai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Pada awal Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin untuk merentas negeri bagi berjumpa dengan pasangan masing-masing. Selain itu, ibu bapa turut dibenarkan untuk merentas negeri bagi berjumpa dengan anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun. Walau bagaimana pun, permohonan merentas negeri daripada pihak polis juga diperlukan untuk berbuat demikian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.