Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

Selepas diperkenalkan dalam versi untuk kegunaan persendirian, MPV besar dengan rupa seperti kapal angkasa, Hyundai Staria kini diperkenalkan dalam versi van panel untuk kegunaan komersial dikenali sebagai Hyundai Staria Load. Ia kini sudahpun dibuka untuk tempahan bagi pelanggan di pasaran Australia.

Dari segi rupa luaran, Staria Load ini masih menampilkan bentuk badan dan juga muka seakan ‘polis angkasa Gaban’ seperti Staria biasa. Namun sebagai van komersil, tiada tingkap sisi belakang diberikan, lampu LED hadapan digantikan dengan lampu biasa, tiada kemasan hitam berkilat pada gril dan hanya disertakan dengan rim besi 17-inci.

Hyundai Staria Load hadir dengan dua pilihan konfigurasi kabin di Australia di mana pelanggan boleh memilih sama ada dari versi dua tempat duduk (hanya baris paling hadapan, tanpa sebarang tempat duduk di kabin belakang), atau versi kru dengan lima tempat duduk.

Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

Staria Load ini sebenarnya menggantikan Hyundai iLoad (Starex versi komersil) di Australia. Ia menampilkan ruang kargo dengan dimensi 2,607 mm panjang, 1,640 mm lebar dan 1,436 mm tinggi, yang ternyata lebih besar dari iLoad yang datang dengan ruang kargo 2,375 mm panjang, 1,620 lebar dan 1,340 mm tinggi. Model baharu ini juga menampilkan bukaan pintu gelangsar sisi lebih besar bersama lantai 96 mm lebih rendah bagi memudahkan barang diangkat ke dalam.

Berbanding Staria biasa yang diberikan suspensi multilink di belakang, Staria Load ini dipadankan dengan suspensi jenis gandar solid bersama spring dedaun. Ini membolehkan ia menampung beban yang lebih berat serta mempunyai kebolehan menunda 2.5 tan.

Walaupun ia sebuah van yang digunakan untuk bekerja, Staria Load masih diberikan pelbagai ciri-ciri yang agak mewah seperti paparan instrumen digital supervision dengan skrin 4.2-inci, tombol gear dan roda sterang dengan butang pelbagai fungsi balutan kulit, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta pembuka tingkap kawalan jauh, brek parkir elektronik serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Jika sebahagian van komersil hanya diberikan radio 1-DIN biasa atau kadang-kadang langsung tiada sistem audio, Staria Load ini sebaliknya diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 8-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar.

Hyundai Staria Load hanya hadir dengan satu pilihan rangkaian kuasa iaitu gandingan enjin turbodiesel 2.2 liter CRDi berkuasa 174 hp pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 1,500 rpm hingga 2,500 rpm, bersama kotak gear automatik lapan kelajuan yang hanya memacu roda hadapan.

Untuk keselamatan, Staria Load diberikan tujuh beg udara, bersama pakej bantuan pemanduan keselamatan Hyundai Smartsense secara standard. Pakej tersebut menampilkan fungsi keselamatan aktif seperti bantuan pengelak pelanggaran lintasan trafik belakang, bantuan pengelak pelanggaran titik buta, monitor paparan sekeliling, bantuan pengekal lorong, bantuan pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, serta banyak lagi.

Hyundai Staria Load ini hanya ditawarkan dengan dua warna badan iaitu Shimmering Silver dan Creamy White. Pada pasaran Australia ia dijual pada harga bermula AUD45,740 (RM139k) bagi model dua tempat duduk dan bermula AUD48,240 (RM146k) bagi model dengan lima tempat duduk.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required