BMW 3 Series Gran Sedan G28 di Thai dapat varian 320Li Luxury – dari RM309k; bakal dijual di M’sia?

BMW 3 Series Gran Sedan G28 di Thai dapat varian 320Li Luxury – dari RM309k; bakal dijual di M’sia?

BMW Thailand telah memperkenalkan varian asas baharu bagi BMW 3 Series Gran Sedan G28 (atau kita lebih kenalinya sebagai 3 Series LWB di Malaysia), dengan 320Li Luxury kini menyertai 330LI M Sport yang telah pun dilancarkan sejak Februari.

Ditawarkan pada harga 2.469 juta baht (RM309,420), 320Li Luxury ini lebih murah berbanding 330LI M Sport yang berharga 2.899 juta baht (RM363,429), dengan kedua-duanya diberikan pakej standard BSI termasuk waranti tiga-tahun, perbatuan tanpa had, serta penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Untuk 320LI, ia diberikan enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 184 PS (181 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 235 km/j.

330Li juga menggunakan enjin B48 yang sama, tetapi dengan lonjakan kuasa yang lebih tinggi iaitu 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia turut menerima kotak gear automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan, tetapi pecutan lebih pantas bagi 0-100 km/j iaitu dalam 6.2 saat dan kelajuan tertinggi pula cecah 250 km/j.

Bagi segi kelengkapannya, 320LI diberikan pakej penampilan Luxury Line dengan imej yang lebih ‘chill’ berbanding gaya agresif pada kit 330 Li M Sport, dan tidak diberikan pakej BMW Individiual high-gloss Shadow Line. Roda bicolour juga sama saiz dengan 330Li iaitu 18-inci, tetapi dengan rekaan pelbagai-jejari dan tayarnya pula dengan profil 225/45.

Lain-lain perbezaan termasuklah tiada paparan utama, sistem bunyi Harmon Kardon (hanya larasan HiFi biasa) dan roda stereng M Sport pada 320Li, sementara kemasan dalaman pula dengan kayuan oak berbanding Aluminium Tetragon. Ia juga tidak diberikan Bantuan Pemanduan, jadi tiada AEB, amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik dan pengelak pelanggaran belakang.

Manakala ciri yang dikongsikan oleh kedua-dua varian termasuklah lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, tailgate larasan kuasa, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, bumbung kaca panorama, upholstery kulit hitam Vernasca, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, papan pemuka Sensatec, sistem pencahayaan ambien, kawalan suhu tiga-zon, sistem Live Cockpit Professional dan perkhidmatan ConnectedDrive. Ia juga masih diberikan sistem kawalan kelajuan pasif berbanding aktif.

320Li di Thailand boleh ditempah dalam warna Cashmere Silver atau Mineral White (tiada pilihan Carbon Black) dengan jahitan dekor Mocha; dan Mineral White turut diberikan dua pilihan; Mocha dan Cognac.

Sebelum ini kami melaporkan yang 3 Series Gran Sedan yang dijual di Thailand sebenarnya diimport dari Malaysia, dipasang oleh BMW Group Malaysia di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Kemungkinan kita juga akan menerima varian 320Li pada masa hadapan, tetapi perkara ini belum disahkan lagi.

Dengan pengecualian cukai jualan yang masih berlangsung, 330Li M Sport di Malaysia buat masa ini berharga RM277,164 OTR tanpa insurans dan waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan. Melihat barisan 3 Series Gran Sedan di Thailandm 320Li adalah 15% lebih murah berbanding 330Li, dan jika dijual di sini, mungkin 320Li boleh berharga sekitar RM235k.

Walau bagaimana pun, ia tidak dapat dipastikan lagi, tetapi jumlah yang diekstrapolasi adalah sekitar lebih RM5k berbanding 320i Sport yang berharga RM230,764. Jurang harga antara versi roda standard 330i M Sport dan 330Li M Sport pula tidak begitu jauh iaitu hampir RM6k. Apa pun, kena nantikan perkembangan selanjutnya adakah 320Li ini akan dijual di pasaran kita atau tidak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required