Astra Daihatsu Motor (ADM) telah menambah beberapa ciri baharu untuk Daihatsu Terios bagi pasaran Indonesia. Kini ia dilengkapi dengan Eco Idle, sama seperti Toyota Rush terkini serta Perodua Aruz di Malaysia. Butang di sebelah kanan roda stereng membolehkan pemandu untuk mematikannya.

Fungsi Eco Idle adalah untuk mengurangkan emisi dan penggunaan petrol dengan mematikan enjin sewaktu kereta dalam keadaan melahu (idle). ADM berkata Eco Idle telah diuji di pusat R&D Daihatsi Indonesia, dan ia telah meningkatkan angka FC sebanyak 10%, laporan Autonetmagz. Untuk pengetahuan anda, Eco Idle telah pun dipasang secara standard untuk Perodua Aruz bagi pasaran Malaysia sejak ia dilancarkan pada Januari 2019.

Ciri baharu lain yang turut diberikan kepada Terios termasuklah VSC (Kawalan Kestabilan Kenderaan) dan HSA (Bantuan Mula Mendaki) untuk varian asas X. Sebelum ini, ciri keselamatan tersebut hanya ditawarkan untuk varian R dan ke atas. VSC dan HSA diberikan secara standard untuk semua varian Aruz sejak dilancarkan. Walau bagaimana pun, tiada sistem keselamatan berdasarkan kamera (ASA) diberikan untuk Terios dan Rush di Indonesia.

Dilancarkan pada awal 2018, Terios – model kereta penumpang bukan-LCGC paling tinggi jualan bagi ADM – ditawarkan pada harga dari Rp 205.1 juta (RM60,214) untuk model asas X MT hingga Rp 255.6 juta (RM75,041) untuk model tertinggi R AT Custom, seperti dalam galeri di bawah. Beberapa bulan lalu, Perodua juga telah memberikan peningkatan pada Aruz, termasuk menampilkan ciri baharu seperti pemijak sisi, pengunci pintu automatik dan warna baharu Passion Red.

GALERI: Daihatsu Terios Custom di GIIAS 2018