Januari lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Kinto One, sebuah program langganan kenderaan terbaru untuk pelanggan di Malaysia. Walaupun ini merupakan penawaran sulung program berkenaan melalui cabang perniagaan Toyota Capital Malaysia, Kinto One sudah beroperasi di banyak negara seluruh dunia.
Direka di Jepun dan ditawarkan di seluruh dunia, langganan ansuran bulanan tetap dengan Kinto One ini meliputi pendaftaran kenderaan, insurans tahunan komprehensif, cukai jalan, serta penyelenggaraan pencegahan dan berjadual.
Tempoh langganan adalah dalam masa dua atau tiga tahun dan sebaik sahaja tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit dan selebihnya akan diuruskan untuk pelanggan. Pelanggan juga perlu risau dengan nilai semasa atau cara untuk menjual kenderaan selepas tamat tempoh langganan.
“Tidak lama selepas kami melancarkan Kinto One, negara ini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, dan ini memaksa kami untuk menjadi lebih adaptif dengan perkembangan sekeliling. Melalui semangat Kaizen dan disiplin berstruktur dalam pembangunan produk, kami mengambil kesempatan tempoh PKP berkenaan untuk menambahbaik ciri penawarannya,” jelas Presiden Toyota Capital Malaysia, Thomas Chai.
Dengan ini, ciri tambahan terbaru untuk Kinto One pun diperkenalkan. Antaranya, pelanggan kini boleh memilih pakej perbatuan tahunan yang berbeza, yang bermula dari 20,000 km hingga 30,000 km, serta memilih tempoh langganan yang lebih panjang hingga lima tahun.
Sebagai tambahan, Kinto One kini turut menawarkan Lite Package, sebagai maklum balas kepada permintaan pasaran di mana pelanggan kini kurang bergerak berbanding dahulu tetapi masih perlukan sebuah program pemilikan kenderaan yang mudah dan ringkas. Ia masih menawarkan nilai terbaik dari program langganan kenderaan dan tetap menawarkan keanjalan penuh bagi pelanggan untuk memilih pakej yang memenuhi keperluan spesifik mereka.
Selain itu, untuk memudahkan lagi syarikat-syarikat menguruskan barisan armada kenderaan dalam operasi mereka, Kinto One Business juga diperkenalkan, dengan fokus terhadap kenderaan komersial untuk kegunaan perniagaan.
Kinto adalah sebuah penyelesaian mobiliti yang disasarkan untuk menyediakan kemudahan kepada pelanggan, dengan matlamat untuk menjadikannya lebih mudah buat pengurus barisan armada kenderaan syarikat dan juga pelanggan individu sekaligus. Model yang terlibat bagi langganan KINTO ONE ini termasuklah model popular dari Lexus dan Toyota serta Toyota Hilux dan Hiace. Senarai inventori berserta harga langganan ada di sini.