Model Ducati Monster baru yang didedahkan buat kali pertama kepada dunia hujung tahun lalu kini sudah sampai di Malaysia. Ia dijual pada harga RM69,900 tidak termasuk insurans, dan datang dalam spesifikasi penuh termasuk quickshifter naik dan turun gear.

Enjin Testastretta 11 V-twin pada model ini sekarang menepati tahap Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 109 hp dan 86 Nm tork pada model sebelumnya dan sekarang cuma memerlukan servis penukaran minyak pada setiap 15,000 km manakala talaan semula injap Desmo pada 30,000 km.

Untuk model generasi baru ini, ia telah dijadkan lebih ringan, dengan berat kering keseluruhan 166 kg. Kerangka jenis Trellis yang sudah sinonim dengan Monster tidak lagi digunakan, dan ia diganti dengan kerangka inspirasi daripada Panigale yang 4.5 kg lebih ringan sementara lengan ayunnya pula, yang lebih mirip seperti model Mulstistrada V4 mencatat berat kurang 1.6 kg.

Bahagian lain yang membantu menjadikan model ini lebih ringan adalah rim, di mana unit 17 inci dengan lebar 3.5 inci di hadapan dan 5.5 inci di belakang sekarang 1.7 kg lebih ringan berbanding unit pada Monster 821. Apabila sudah diisi dengan minyak dan sedia untuk ditunggang, Monster 2021 mencatat berat 188 kg, iaitu 18 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.

Klac jenis anti-slip dipasang pada kotak gear enam kelajuan motosikal ini, dan tarikan tuilnya kini lebih ringan 20%. Melalui sistem pendikit ride-by-wire, ia menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Sport (kuasa penuh dan maklum balas pendikit lebih agresif), Touring (kuasa juga penuh, dengan maklum balas lebih lembut) serta Urban (75 hp). Sistem kawalan cengkaman mempunyai lapan tahap.

Selain ABS dan kawalan cengkaman (lapan tahap), Monster 2021 turut datang dengan Wheelie Control serta Launch Control. Untuk Wheelie Control, ia boleh dilaras secara berasingan sementara mod tunggangan, Traction Control dan Wheelie Control boleh dilaras sewaktu motosikal bergerak.

Pada bahagian kokpit, panel meter LCD sebelum ini telah diganti dengan skrin TFT-LCD yang mana paparannya lebih menyerupai seperti unit pada Panigale V4 dengan tahap rpm di bahagian tengah skrin. Sambungan Bluetooth boleh digunakan selepas mendapatkan modul Ducati Multimedia System yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

Keseluruhan bentuk badan Monster 2021 ini telah mengalami perubahan dengan lampu hadapannya kini menggunakan unit LED bersama DRL manakala tangki bahan api 14 liternya pula mempunyai lebih banyak lekuk berbanding bulat besar pada Monster sebelum ini. Ia sekaligus memberikan penampilan yang berbeza.

Subframe Monster 2021 pula menggunakan fibreglass dan ia disambungkan terus kepada enjin seperti Panigale V4. Bagi penunggang, kedudukan di atas Monster baru ini adalah lebih menegak dan tinggi tempat duduknya adalah 820 mm. Pilihan tempat duduk yang lebih rendah juga ada disediakan. Pemegang kini lebih ke belakang 70 mm manakala peletak kaki pula 10 mm lebih rendah dan 35 mm lebih ke hadapan.

Bahagian brek menggunakan tetapan cakera berkembar 320 mm berserta angkup empat piston Brembo M4.32 di hadapan, manakala di belakang terdapat cakera 245 mm dan angkup Brembo satu piston. Suspensi terdiri daripada fork USD 43 mm tanpa sebarang pelarasan di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

Ada tiga warna yang disediakan untuk Monster baru ini, iaitu Ducati Red dan Dark Stealth dengan rim hitam, atau Aviator Grey dengan rim GP Red.