PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Dulu masa era 80’an atau 90’an, jika ada model istimewa yang dilekapkan dengan lencana sayap perlumbaan rasmi satu-satu jenama berkenaan, maknanya ia benar-benar menerima sentuhan semula yang melibatkan prestasi. Namun tahun demi tahun, menghasilkan model prestasi berasaskan model biasa bukan lagi tugas mudah.

Ini kerana dengan pelbagai undang-undang emisi dan keselamatan yang semakin lama semakin ketat, kos untuk membangunkan model-model sedemikian melibatkan pelaburan R&D yang tinggi.

Misalnya Proton Iriz dan Saga R3 yang baru dilancarkan tahun ini, ramai yang tanya kenapa hanya melibatkan “kejuteraan sticker”? Cuba anda fikir balik, nak ekstrak sekitar 5-10% kuasa pun bukannya mudah. Ia memerlukan banyak komponen baharu misalnya camshaft, injap, spring injap, kotak komputer dan sebagainya.

Komponen tersebut bukan sahaja perlu direka semula, malah perlu benar-benar diuji bagi memastikan kuasa tambahan yang diberikan tidak akan mendatangkan kesan sampingan lain, dan perlu dipastikan untuk tidak melebihi tahap pencemaran yang ditetapkan. Selepas itu, ia sekali lagi perlu menjalani proses homologasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Proses sebegini menelan belanja yang sangat besar. Itu baru bab prestasi enjin, tak masuk lagi suspensi, brek dan sebagainya. Kemudian berapa pula harga jualan yang nak diletak nanti? Ada ke orang nak beli sebuah Proton Iriz atau Proton Saga sekiranya harga jualannya lebih dari RM70k? Balik modal ke dengan pelaburan yang dibuat?

Ketika melancarkan hot-hatch Toyota GR Yaris hujung tahun lalu, UMW Toyota turut melancarkan sekali Vios GR Sport, iaitu Vios yang disifatkan bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih agresif, malah turut memberikan prestasi yang lebih sporty dari Vios biasa.

Tapi bila dilihat dari spesifikasi atas kertas, Vios GR Sport ini masih dijana oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter yang menghasilkan 107 PS dan tork 140 Nm, sama seperti varian Vios yang lain. Jadi betul ke apa yang didakwa oleh Toyota ni? Ke sama saja seperti Vios TRD Sportivo seperti sebelum ni? Mari baca laporan pandu uji kami ini dengan lebih lanjut.

Dari segi penggayaan, Vios GR Sport ini menerima bampar hadapan baharu menampilkan gril bawah dengan rekaan inspirasi GR Yaris, bersama kemasan hitam perumah lampu kabus yang lebih besar. Model ini juga menerima skirt sisi dengan rekaan berbeza bersama kemasan tambahan bawah bampar belakang, manakala spoiler ekor itik pada but pula diberikan kemasan hitam berkilat.

Lencana-lencana ekslusif GR diletakkan pada kedua-dua belah fender hadapan dan penutup but belakang. Vios GR Sport ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic, serta kemasan-kemasan hitam berkilat turut diberikan pada penutup cermin sisi dan juga pembuka pintu.

Satu perkara yang menarik pada bahagian luaran Vios GR Sport ini adalah pada bahagian roda. Ia menerima rim aloi pelbagai jejari kemasan hitam berkilat 17-inci dengan lebar normal (bukan ‘kurus’ seperti kebanyakkan rim oem yang dibekalkan dari kilang), dibalut dengan tayar prestasi Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R17.

Pada saya yang selalunya berpendapat selepas beli kereta baharu, perkara pertama yang perlu dibuat adalah untuk menukar rim dan tayar, rasanya tidak relevan untuk membuat perkara yang sama terhadap Vios GR Sport ini kerana rim tersebut dah cukup cantik, dan tayarnya juga sudah sangat bagus – Toyo Proxes TR1 ini juga adalah tayar yang perlu digunakan untuk semua kereta lumba Vios yang berlumba dalam Vios Challenge TGR Racing Festival Malaysia.

Dalam kabin, perincian yang paling menonjol adalah tempat duduknya, di mana ia bukan sahaja lebih sporty dengan sokongan bucket, serlahan jahitan benang merah dan sulaman logo GR pada perehat kepala, malah diberikan balutan fabrik sued dan kulit hitam yang kelihatan sangat ‘lumba’.

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Walau bagaimanapun, posisi duduk untuk pemandu pada Vios GR Sport ini masih tidak berapa sporty kerana kekal terasa tinggi dan posisi tombol gear serta tuil brek tangan seperti ‘tenggelam’ ke bawah, ada sikit-sikit rasa macam memandu Perodua Myvi. Nak buat macam mana, Vios standard dah direka macam ni, tak banyak yang boleh diubah pada versi GR Sport ini kan?

Logo GR juga dipancarkan pada skrin pelbagai info berwarna ketika ‘upacara selamat datang’, serta diberikan pada suis penghidup enjin dan disulam pada setiap karpet kaki. Ciri-ciri dari Vios 1.5G turut dibawa ke model GR Sport ini termasuk skrin Display Audio tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), kamera pemantau sekeliling 360 darjah dan lain-lain.

Kali pertama saya berpeluang untuk memandu Vios GR Sport ini adalah pada sesi pandu uji di Litar Sepang – tempat yang cukup baik bagi membuktikan sama ada ia benar-benar lebih sporty atau tidak dari Vios biasa. Sesi kali ini saya diberikan peluang untuk membelasah Vios ini sebanyak tiga lap penuh di litar tersebut.

Sepanjang sesi berkenaan, mod sport sentiasa diaktifkan – dalam mod ini respon pendikit ditala bagi memberikan rasa yang paling ‘tajam’, bersama tukaran gear yang paling agresif. Menurut Toyota juga, walaupun angka kuasa antara Vios biasa dan Vios GR Sport ini sama, namun pada model lebih sporty ini enjin berkenaan boleh dikerah dengan putaran 200 rpm lebih tinggi.

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Kotak gear CVT Vios biasa dengan GR Sport ini juga masih sama. Tetapi bagi model GR Sport, perisian baharu yang diberikan membolehkan mod manualnya kini dihasilkan dalam 10-nisbah maya (berbanding hanya tujuh pada model standard) bersama tukaran gear yang lebih agresif.

Keluar sahaja dari pit, respon pendikit pada Vios GR Sport ini dapat dirasakan memang lain – sangat direct, terasa bersemangat setiap kali ia diperah. Namun bukan bermaksud ia membuatkan Vios ini lebih laju, cuma rasa pedal tersebut saja membuatkan kita untuk terus memecut.

Perisian baharu pada kotak gear CVT Vios ini juga membuatkan pemanduan lebih mengujakan. Dalam mod sport ini, rasa “rubber band effect” seperti kotak gear CVT adalah sangat kurang. Kemudian Toyota bersungguh-sungguh mahu pemandu merasai seolah-olah mereka memandu sebuah kereta dengan transmisi AT dengan memberikan tukaran gear yang terasa tajam, malah membuatkan kereta ‘berenjut’ setiap kali gear ditukar.

Gimik tukaran gear yang diberikan oleh Toyota kepada Vios GR Sport tak ubah seperti sistem bunyi enjin palsu yang banyak digunakan pada kereta-kereta sport sekarang. Kita tau benda tu palsu, tapi syok juga dilayan daripada ‘bisu’ terus kan?

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Vios GR Sport ini turut diberikan pedal penukar gear pada stereng dan juga pada tuil gear bagi membolehkan anda menurunkan atau menaikkan gear secara manual. Namun pada saya, dalam litar Sepang ini memadai untuk kita gunakan mod automatik. Ini kerana gear akan tukar setiap kali jarum takometer mencecah redline.

Manakala ketika saya membrek untuk sebelum masuk ke selekoh, gear akan diturunkan tepat bagi membolehkan enjin berada pada putaran optimum, memudahkan anda mengawal pedal pendikit ketika meredah selekoh dan memecut semula ketika keluar dari selekoh.

Dengan mod auto ini juga anda tidak perlu kelam kabut untuk menurun nisbah gear yang cukup banyak ini – bayangkan anda memandu pada laluan lurus pertama di Litar Sepang dengan gear 10 untuk mencapai kelajuan maksima, tetapi sebelum tiba di selekoh pertama brek perlu ditekan sepenuhnya, kelam kabut lagi nak turun dari gear 10 sampai gear dua, susahkan?

Selain dari unit rangkaian kuasa, suspensi Vios GR Sport ini juga sebenarnya sudah ditala semula. Ia diberikan spring 20% lebih keras dari Vios standard, kemudian penyerap hentak ditala semula bagi disesuaikan dengan spring tersebut agar tidak ‘memantul-mantul’.

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Dengan tayar Toyo Proxes TR1 yang lebar, serta talaan suspensi baharu, Vios GR Sport ini agak seronok untuk dipandu dilitar, walaupun kuasanya tidak besar. Ia memberikan dinamik pemanduan yang cukup baik dengan bahagian hadapan agak mudah untuk dihalakan ke selekoh. Ditambah dengan respon yang baik dari enjin dan kotak gear, Vios GR Sport ini adalah kereta yang baik untuk anda nikmati mana-mana acara track day di Sepang.

Walau bagaimanapun, daya olengan ketika mengambil selekoh masih lagi agak terasa pada Vios GR Sport ini – ia mungkin kerana ketinggian suspensinya masih sama dengan Vios standard. Kami difahamkan bahawa model ini tidak diberikan spring yang lebih pendek kerana dengan komponen tersebut Vios GR Sport perlu dihantar semula untuk proses homologasi pihak berkuasa.

Jadi bagaimana pula untuk pemanduan dijalan raya biasa? Sekiranya anda tidak menggunakan mod Sport, karekter enjin dan kotak gear Vios GR Sport ini adalah sama seperti Vios biasa. Ia tidak menampilkan tukaran gear yang terasa seperti AT, dan akan menghasilkan ngauman enjin seperti model dengan kotak gear CVT lain.

Namun apa yang saya suka terhadap kotak gear CVT Vios ini adalah ia cukup diperhalusi. Ia senyap, tidak terasa malas dan memberikan respon yang baik, serta anda boleh crusing pada kelajuan 110-120 km/j dengan putaran enjin berada sekitar 2,000 rpm.

PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

Tetapi sekiranya tiba-tiba anda mahukan pemanduan yang sporty kerana ada Myvi kuning yang memberikan lampu tinggi di belakang, nak tukar kepada mod sport terasa sedikit janggal. Ini kerana butang mod berkenaan berada di sebelah kanan papan pemuka, jauh di bawah butang penghidup enjin yang bukan sahaja sukar dilihat, malah ia sebaris dengan butang suis sistem amaran pra pelanggaran dan juga mod Eco.

Jadi nak tekan butang tersebut, anda kena perlahankan kereta seketika kerana pandangan ke hadapan perlu di alihkan untuk mencari dan menekannya. Pada saya butang sebegini sepatutnya diletakkan berhampiran tuil gear untuk mudah ditekan, atau lagi bagus letak di roda stereng macam butang PWR pada Perodua Ativa, baru rasa acah-acah macam Toretto tekan butang NOS.

Pujian juga harus diberikan pada talaan suspensi yang dibuat pada Vios GR Sport ini kerana walaupun spring sudah dikeraskan 20% dari asal, ia masih tetap sangat selesa untuk membawa keluarga setiap hari.

Jadi untuk semua perincian yang diberikan ini, Toyota Vios GR Sport dijual pada harga atas jalan tanpa insuran (termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember 2021) RM95,284, atau RM7,700 lebih mahal berbanding Vios 1.5G yang dijual pada harga RM87,584.

Pada saya sendiri, nilai RM7,700 tersebut adalah sangat setimpal dan berbaloi kerana perincian seperti talaan semula dari kilang yang diberikan pada enjin, kotak gear dan suspensi yang telah benar-benar diuji bukanlah sesuatu yang boleh anda buat sendiri diluar selepas dibeli.

Jadi sebelum anda nak beli sebuah Vios dan merancang untuk merubahnya menjadi lebih sporty dari biasa (yang sudah tentu akan pening pasal waranti pula dikemudian hari), ada baiknya anda mempertimbangkan dahulu Vios GR Sport ini. Jika anda nak tahu lebih lengkap perincian yang ditawarkan pada model ini, boleh baca satu lagi laporan yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required