Nampaknya pengenalan Hyundai Staria di pasaran Malaysia akan berlaku tidak lama lagi, kerana model ini sudah mula dilihat di perkarangan hab automotif Sime Darby Motors City di Ara Damansara, Selangor.
MPV jenama Korea ini sudah pun dilancarkan di Thailand Julai lalu, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 2.2 liter turbodiesel dengan kuasa 177 PS dan 431 Nm tork. Di negara lain, ada juga pilihan enjin V6 petrol 3.5 liter yang mampu menghasilkan 272 PS dan 331 Nm tork. Kedua-dua enjin ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan.
Tempat duduk di dalam Staria boleh dipilih dengan konfigurasi sehingga 11 orang, sementara varian Premium mendapat pelbagai lagi kelengkapan seperti Premium Relaxation Seats. Ada juga pilihan tempat duduk yang boleh dipusing supaya penumpang boleh menghadap satu sama lain.
Model yang menggantikan Starex ini dikatakan mampu memberi lebih keselesaan hasil penukaran suspensi belakang daripada solid axle kepada multi-link dan penyerap yang ditala semula, sementara brek juga telah dinaik taraf.
Sekarang ini masih terlalu awal untuk kita membuat anggaran harganya, tetapi jika melihat di Thailand, Staria biasa (bukan Premium) dijual pada harga bermula 1,729,000 baht (RM222,100), iaitu lebih mahal berbanding Starex/H-1 yang dijual pada harga bermula 1,329,000 baht (RM170,800).
Di Malaysia, Grand Starex dijual pada harga bermula RM165,888 untuk varian Executive Plus, sementara varian Executive Prime yang lebih tinggi pula dijual pada harga RM173,888. Jika Staria ini dijual pada harga lebih RM200k, adakah ia masih boleh masuk dalam senarai MPV pilihan anda?
GALERI: Hyundai Staria 2021