Pengeluar motosikal dari China, CFMoto, telah mendedahkan sebuah model konsep berbentuk sports melalui laman media sosial mereka. Tiada sebarang nama yang diberikan pada model ini, tetapi mungkin boleh dipanggil sebagai satu siri SR seperti model sports produksi mereka.

Model ini dibuat untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, dan menurut CFMoto, ia dibangunkan oleh pusat penyelidikan dan pembangunan mereka di Eropah. Selain daripada itu, kita juga tahu mereka mempunyai kerjasama rapat dengan syarikat yang turut terlibat membuat rekaan motosikal KTM, iaitu Kiska.

Bukan setakat rekaan yang menarik, CFMoto juga memasang kelengkapan berkualiti dan berjenama pada model ini, seperti brek Brembo, ekzos SC Project (keluar dua muncung di belakang), tayar Pirelli Supercorsa serta suspensi Ohlins. Kemudiannya, ada panel pada motosikal ini dibuat daripada bahagn yang kelihatan seperti forged carbon.

Setakat ini kita masih tidak diberitahu berkenaan spesifikasi teknikal seperti enjin bagi model konsep ini, tetapi dengan sekadar melihat kepada grafik yang tertera nombor 400 di bahagian sisinya, kita boleh menjangka ia berada dalam lingkungan itu. Memandangkan CFMoto juga mempunyai kerjasama rapat dengan KTM, kita juga boleh menjangka penggunaan enjin seperti RC390.

Model sports CFMoto yang lebih kecil, iaitu 250SR turut ada dipasarkan di Malaysia, dan dijual pada harga RM15,800 waktu ia dilancarkan bulan Julai tahun lalu. Turut ditawarkan kepada pengguna Malaysia adalah model naked 250NK, sementara model yang dijangka tiba pula adalah seperti 800MT dan 700CL-X.