Ingat lagi teaser berkenaan Golf GTI Mk8 disiarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) setahun yang lalu di laman Instagram mereka? Nampaknya kali ini bukan cobaan, ini betul-betul – syarikat berkenaan telahpun mengesahkan bahawa Golf generasi terkini tersebut bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi!
Dua varian telah disahkan akan dilancarkan pada pasaran tempatan iaitu R-Line dan GTI, dan kedua-duanya berkemungkinan besar akan terus dilancarkan dalam versi CKD, diproduksi di kilang biasa yang memasang Volkswagen di Malaysia terletak di Pekan, Pahang.
Volkswagen Golf Mk8 telah pun diperkenalkan pada peringkat global kira-kira dua tahun lalu. Pelancarannya yang begitu lambat di Malaysia berkemungkinan kerana persediaan yang dibuat bagi proses pemasangan tempatan ini.
Golf generasi terkini ini dihasilkan menerusi platform MQB Evo Volkswagen. Varian hot-hatch GTI masih dijana oleh enjin petrol EA888 2.0 liter yang disuap pengecas turbo, menghasilkan 245 PS dan tork maksima 370 Nm, atau 15 PS dan 20 Nm lebih berkuasa dari enjin Mk7.5 GTI yang telah dilengkapi Performance Pack.
Seperti biasa, pasaran Malaysia dijangka hanya menawarkan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan untuk memacu roda hadapan, berbanding berberapa pasaran lain yang turut menawarkan transmisi manual enam-kelajuan. Padanan ini membolehkan GTI Mk8 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat, dengan kelajuan maksima dihadkan kepada 250 km/j. Penggunaan bahan api keseluruhan pula dikadarkan pada 6.5 liter setiap 100 km.
Golf GTI Mk.8 ini terus menggunakan suspensi Topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang. Pengendaliannya turut dibantu sistem differential lock elektronik XDS serta talaan suspensi lebih sporty dengan ketinggian badan 15 mm lebih rendah berbanding Golf biasa. Model ini juga menerima sistem kawalan Vehicle Dynamics Manager yang menyelia operasi XDS serta set suspensi adaptif DCC.
Bagi varian R-Line yang lebih mampu milik pula, ia mungkin akan dijana oleh enjin 1.5 liter turbo empat-silinder bagi menggantikan enjin 1.4L TSI yang ada pada Golf Mk7.5 sebelum ini. Pada pasaran global, enjin berkenaan ditawarkan dalam dua talaan, 130 PS/200 Nm dan 150 PS/250 Nm – pasaran Malaysia mungkin hanya menerima talaan kedua, bersama kotak gear DSG tujuh-kelajuan.
Berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan di laman sesawang rasmi VPCM berkenaan, Golf Mk8 R-Line dan GTI pasaran Malaysia ini bakal menerima paparan instrumen digital, serta skrin sesentuh untuk sistem infotaimen bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto support. Model R-Line juga nampaknya diberikan lampu belakang LED IQ penuh yang begitu menarik.
Berminat? Kalau mahu menjadi antara pemilik terawal, anda sepatutnya perlu bertindak sekarang kerana pendaftaran minat telahpun dibuka oleh VPCM pada PAUTAN INI.
GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.