Husqvarna telah memperkenalkan sebuah motosikal touring bawah 1,000 cc baru, iaitu Norden 901. Seperti yang ramai tahu, Husqvarna dan KTM dimiliki oleh entiti yang sama, dan Norden 901 ini sebenarnya adalah kembar kepada KTM 890 Adventure, tetapi dengan penampilan yang berbeza.
Pada bahagian enjin, ia masih lagi adalah unit yang sama, iaitu dua silinder selari DOHC 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm.
Motosikal ini datang dengan tiga mod tunggangan dalam keadaan standard, iaitu Street, Rain dan Offroad, yang memberikan maklum balas kuasa, penyampaian serta kawalan cengkaman yang berbeza, sementara satu lagi mod iaitu Explorer yang membolehkan pelarasan sendiri oleh penunggang disediakan sebagai pilihan tambahan. ABS pula datang dengan mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya.
Bahagian suspensi dipegang oleh fork USD WP Apex 43 mm boleh laras sepenuhnya di bahagian hadapan, sementara bahagian belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Tetapan ini memberikan jarak gerak suspensi 220 mm di hadapan dan 215 mm di belakang.
Brek cakera 320 mm bersama angkup empat piston digunakan untuk menghentikan roda hadapan yang mempunyai rim 21 inci manakala rim 18 inci di belakang mendapat cakera brek 260 mm dengan angkup dua piston. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 19 liter.
Cruise control dan quickshifter diberi secara standard sementara kelengkapan lain seperti sambungan Bluetooth, pemanas tangan dan tempat duduk, serta sistem pemerhati tekanan angin tayar disediakan sebagai pilihan tambahan. Tempat duduk didatangkan dalam pilihan sama ada 854 mm tinggi atau 874 mm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.