Kita di Malaysia ramai yang kenal akan Daihatsu Mira, iaitu model Kei-Car dari Jepun yang menjadi asas kepada model pertama keluaran jenama automotif nasional kedua negara iaitu Perodua Kancil. Tapi anda kenal dengan Mira Walkthrogh Van? Model ini juga diasaskan dari Mira, tetapi diberikan badan yang diubah untuk kegunaan komersil, khususnya bagi digunakan untuk tujuan seperti dijadikan food truck kompak atau penghantar barang di Jepun.

Namun sekiranya ada Daihatsu Mira Walkthrough Van ini dijelmakan sebagai model die-cast keluaran Hot Wheels kelak, ia mungkin bukan kerana permintaan dari peminat Kei-Car dari Jepun, sebaliknya diasaskan dari kereta yang berada di Malaysia. Ini kerana Daihatsu Mira Walkthrough Van milik pemenang Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2021 telah pun disahkan layak untuk bertanding di peringkat akhir!

Mira Walkthrough Van berwarna hijau ini adalah milik Abdul Wahab Bin Bahari. Ia adalah model keluaran 1986, bermakna ini adalah Mira generasi L70 yang lebih awal dari Mira L200 yang dijelmakan sebagai Kancil di Malaysia. Bagi menambah keunikan kepada Mira ini, Abdul Wahab telahpun memadankan muka hadapan Mira Classic dari generasi L500.

Bukan sahaja muka, Abdul Wahab turut memadankan bampar belakang Mira yang diinspirasikan dari Mini Cooper berkenaan, bersama lampu-lampu bulat di belakang yang diambil dari pelbagai model yang disusun menegak bagi memberikan rupa seolah-olah ia memang sebuah Walkthrough Van dalam versi Classic.

Kesemua ruang roda dilebarkan lagi bagi menempatkan set roda dengan rim ‘mangkuk’ kemasan krom, bersama pelbagai perincian custom lain seperti rak bumbung bersama tangga sisi dan juga silinder krom pada setiap bendul sisi untuk disesuaikan dengan imej Classic berkenaan. Badan Mira ini kemudian disudahkan dengan warna hijau metalik, bersama efek seperti mutiara yang begitu menyerlah.

Bahagian dalaman Mira Walkthrough Van ini juga menerima rombakan yang begitu menyeluruh. Papan pemuka asal telah digantikan dengan papan pemuka dari Mira L200, manakala roda stereng dan juga konsol gear diambil dari Daihatsu Move L900.

Unsur-unsur klasik pada bahagian kabin Mira ini boleh dilihat menerusi panel sisi dan lantai yang diperbuat dari kayu. Malah Abdul Wahab turut menghasilkan jump seat yang boleh dilipat untuk penumpang belakang. Manakala untuk enjin, unit asal telah digantikan dengan enjin EF-JL 660 cc tiga-silinder turbo yang diambil dari Mira L200.

Selepas menang pusingan Malaysia (mengalahkan secara keseluruhan 163 peserta lain) yang diadakan di Muzium RWB Johor Bahru pada 17 Oktober lalu , Mira Walkthrough Van milik Abdul Wahab ini seterusnya bertanding di peringkat separuh akhir pada 4 November, berentap dengan peserta dari Brazil, Chile, Jerman, Jepun, Australia, Mexico, UK, dan New Zealand.

Antara kereta-kereta yang memberikan cabaran pada peringkat separuh akhir berkenaan termasuk Mazda 616 Capella 1973, Ford Escort 1974, Wenckstern 2018, ‘Aint No Saint’ Volvo P1800 1969, Volkswagen ‘Rat Rod’ 1990, ‘Yellow Black Lethal’ Chevrolet Opala Comodoro 4100 1977, Ford Coupe 1947 dan 1969 Nissan Cedric 130.

Walaupun berhadapan dengan saingan sengit, Mira Walkthrough Van Abdul Wahab berkenaan telah terpilih sebagai lima finalis, dan berjaya membawa nama Malaysia untuk ke peringkat akhir serta bakal berhadapan dengan cabaran lebih sengit dari peserta UK, Mexico, Jerman, New Zealand dan juga finalis-finalis dari Amerika Utara.

Tidak seperti sebelum-sebelum ini di mana pusingan akhir Hot Wheels Legends Tour diadakan ketika berlangsungnya acara SEMA di Las Vegas, tahun ini (dan juga tahun lalu) ia terpaksa diadakan secara atas talian kerana pandemik Covid 19 yang masih belum reda.

Oleh itu, Hot Wheels Legends Tour Global Virtual Finale 2021 bakal disiarkan secara maya di laman facebook rasmi Hot Wheels di PAUTAN INI, pada 13 November 9 pagi waktu Amerika Syarikat atau bersamaan 14 November 1 pagi waktu Malaysia. Ayuh, banjirkan siaran langsung berkenaan dengan penonton dari Malaysia dan berikan sokongan padu kepada Abdul Wahab bersama Daihatsu Mira Walkthrough Van 1986 miliknya!