Lotus Emira First Edition 2022 – harga di M’sia diumum; bermula RM1.13 juta di Semenanjung

Lotus Emira First Edition 2022 – harga di M’sia diumum; bermula RM1.13 juta di Semenanjung

Lotus Cars Malaysia telah mendedahkan harga untuk kereta sport baharu dari British berkenaan, iaitu Emira yang didedahkan pada Julai lalu. Buat masa sekarang, hanya satu varian ditawarkan iaitu model 3.5 V6 First Edition yang dijual pada harga RM1,131,800 untuk semenanjung Malaysia, dan juga RM456,900 di Langkawi.

Harga yang dinyatakan ini tidak termasuk kos-kos atas jalan, insuran dan juga ciri opsyen lain yang ditawarkan. Emira mula diproduksi di kilang Lotus di Hethel yang telah ditingkat taraf pada musim bunga 2022, jadi pelanggan dijangka akan menerima kereta-kereta yang ditempah hanya selepas bulan Mac tahun hadapan.

Lotus Emira (sebelum ini dikenali dengan kod Type 131) merupakan model gantian untuk Elise, Exige dan Evora, di mana ketiga-tiga model ini akan dihentikan pengeluarannya pada penghujung tahun ini. Ia juga merupakan model terakhir Lotus yang menampilkan enjin pembakaran dalaman, sebelum syarikat berkenaan berhijrah 100% kepada teknologi elektrik.

Lotus Emira First Edition 2022 – harga di M’sia diumum; bermula RM1.13 juta di Semenanjung

Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Ia menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan belakang, serta ditawarkan dalam dua jenis tetapan casis.

Tetapan casis pertama digelar Tour. Ia ditala untuk kegunaan seharian di atas jalan raya dan memberikan keseimbangan antara pengendalian dan juga keselesaan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala tetapan kedua digelar Sports, dengan suspensi sport bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Model First Edition ini dijana oleh enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 yang menghasilkan 405 PS (400 hp). Bagi model dengan kotak gear manual enam kelajuan, enjin ini menampilkan talaan tork 420 Nm. Manakala bagi pembeli yang memilih kotak gear automatik enam-kelajuan (dengan tambahan harga RM15,000), ia menerima talaan tork 430 Nm.

Kedua-dua kotak gear tersebut dihasilkan oleh Aisin, dan kedua-dua versi transmisi ini membolehkan Emira mencapai kelajuan maksima 288 km/j. Namun bagi pecutan 0-100 km/j, versi automatik adalah lebih pantas dengan catatan 4.2 saat berbanding 4.3 saat pada model manual.

Dari segi kelengkapan pula, Lotus Emira 3.5 V6 First Edition ini hadir dengan rim aloi forged 20-inci 10-jejari rekaan-V, lampu hadapan dan belakang LED, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pendingin hawa automatik, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan instrumen digital 12.3-inci serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, digandingkan dengan sistem bunyi KEF 340-watt.

Perincian-perincian lain yang turut diberikan pada model ini termasuk lampu suasana berwarna putih, pelapik bumbung Alcantara, roda stereng balutan kulit berwarna hitam dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa bersama fungsi memori.

Lotus Emira First Edition 2022 – harga di M’sia diumum; bermula RM1.13 juta di Semenanjung

Kereta sports terbaharu Lotus ini juga hadir dengan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri dari cruise control adaptif, sistem anti-pelanggaran, amaran keletihan pemandu, informasi tanda jalan, pengehad kelajuan kenderaan, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan tukar lorong.

Selain dari kotak gear automatik, pilihan lain yang turut memerlukan pembeli menambah kos pada Emira ini termasuk roda stereng balutan Alcantara (serlahan jahitan hitam, kelabu, kuning atau merah) dengan harga RM2,800, sistem pengesan kenderaan Scorpion berharga RM5,800) dan juga Black Pack berharga RM8,000 yang menampilkan kemasan hitam pada cantrail, penutup cermin sisi, logo Lotus pada bahagian belakang dan juga tip ekzos.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required