Perodua Ativa Hybrid: Kajian pasaran sedang dibuat

Perodua Ativa Hybrid: Kajian pasaran sedang dibuat

Perodua ketika ini sedang menjalankan kajian pasaran bagi kenderaan hibrid di Malaysia. Syarikat ini juga telah mengesahkan secara rasmi bahawa Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang dilihat sedang diuji di KL baru-baru ini — bahkan sebelum pelancarannya di Jepun — adalah milik mereka.

Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad memaklumkan kepada media ketika acara pratonton Perodua Myvi 2022 semalam bahawa unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid tersebut berada di jalanraya tempatan untuk tujuan penilaian dan kajian, dengan perincian lanjutnya akan didedahkan bila tiba waktu yang sesuai.

Beliau turut menambah yang kajian pasaran bagi model hibrid melibatkan kedua-dua sisi pelanggan dan juga kawal selia. “Kami menjalankan kajian pasaran, meninjau sejauh mana penerimaan pelanggan di Malaysia, takat harga yang boleh diterima serta untuk melihat sama ada model hibrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” ujarnya.

Dilancarkan di Jepun awal bulan ini, Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh siri sistem hibrid yang ada persamaan dengan cara kerja sistem pada e-Power Nissan. SUV berkenaan dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm, dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder yang bertindak hanya sebagai generator. Enjin petrolnya menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

Pendekatan ini membolehkan transmisi biasa digugurkan dan digantikan dengan motor pendorong elektrik dan unit motor-generator yang selari untuk tatasusun yang lebih kompak. Sistem e-Smart Hybrid ini menurut Daihatsu akan disertakan juga untuk model kei kar JDM. Kelebihan lain sistem ini adalah bateri lithium-ion (4.3 Ah) bersaiz kecil dan cekap kos.

Rocky Hybrid juga datang dengan “Smart Pedal” untuk membolehkan kendalian pedal tunggal, dengan mod normal dan eco akan mempunyai respon pendikit yang berbeza. Penebat bunyi yang lebih baik untuk bonet dan di bawah enjin dan papan pemuka mengurangkan lagi bunyi enjin ke dalam kabin. Kadar penggunaan minyak bagi Rocky e-Smart Hybrid ini adalah 28 km/l (3.6 liter per 100 km) menggunakan kitaran WLTP.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required