Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia tahun ini sekali lagi bakal memberikan cabaran dalam perlumbaan endurance tahunan negara, Sepang 1000KM (S1K) yang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Walaupun boleh dikata ‘belum habis penat’ dengan perlumbaan pusingan terakhir Vios Challenge pada hujung minggu lalu, TGR Malaysia bakal turun ke S1K kali ini untuk berlumba dalam kategori utama Modified Production (MTC) dan juga SP2.

Jika sebelum ini Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing, Akio Takeyama dibantu oleh bekas juara GT Jepun kelas GT500 dengan pasukan Esso Ultraflo Supra, Akira IIda untuk mengendalikan Toyota Vios MTC dalam S1K 2019, kali ini beliau akan bergandingan dengan bakat tempatan iaitu juara tiga kali Vios Challenge dalam kelas Super Sporting dan duta GAZOO Racing Malaysia, Tengku Djan Ley, serta juara kelas Rookie Vios Challenge yang baru dinobatkan, Naquib Azlan yang baru berusia 20 tahun.

Perlumbaan S1K ini akan menjadi yang pertama buat Naquib yang setakat tahun lalu hanya berlumba secara dalam talian menggunakan simulator. Dia merupakan satu daripada enam pemandu yang direkrut untuk menyertai Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing dan kemudiannya diberikan peluang untuk bersaing dalam kelas Rookie untuk pemandu muda.

Manakala untuk jentera Vios kelas SP2 pula akan dikendalikan oleh gandingan pemandu kelas Rookie dari Vios Challenge iaitu Mika Hakimi dan Jwan Hii serta pemandu kelas Promotional, naib juara Musim-4, pelakon Zizan Razak. Zizan boleh dikatakan bukan muka baharu dalam S1K kerana dia sebelum ini pernah bertanding dan menang dalam perlumbaan berkenaan pada edisi 2016.

Sementara Mika dan Jwan yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dan keempat dalam Vios Challenge baru-baru ini, juga akan membuat penampilan sulung mereka dalam S1K. Sama seperti Naquib, kedua-dua pemandu juga merupakan graduan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing — Mika yang berusia 17 tahun datang dari latar perlumbaan simulator, manakala Jwan sebelum ini berlumba go-kart.

“Dua penyertaan dalam S1K ini adalah untuk memenuhi beberapa matlamat, jika anda melihat barisan yang ada ini dengan dekat. Ya, kami mensasarkan kedudukan juara dalam kelas berkenaan, tetapi ia juga satu permulaan untuk melebarkan sayap Gazoo Racing Malaysia dalam kancah sukan permotoran Malaysia. Penyertaan ini juga adalah untuk memberikan platform baru bagi bakat muda untuk berlumba dalam persekitaran lebih kompetitif melangkaui Vios Challenge,” ujar Takeyama.

Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

Apa yang menarik, S1K tahun ini turut akan dilangsungkan serentak dengan Piala Vios Enduro. Perlumbaan untuk merebut piala ini diwujudkan untuk membawakan jentera lumba Vios Challenge dan pemandunya keluar dari persekitaran biasa mereka. Piala berkenaan menawarkan hadiah pertama RM10,000, dengan hadiah kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM6,000. Hadiah tunai berjumlah RM4,000 dan RM2,000 juga ditawarkan kepada pemenang tempat keempat dan kelima.

“Untuk ikut serta dalam siri perlumbaan berprestij seperti S1K ini adalah permulaan pengembangan kehadiran Gazoo Racing Malaysia dalam sukan permotoran tempatan. Setakat ini, perhatian kami diberikan kepada pembangunan dan memperkukuhkan siri perlumbaan Vios Challenge yang baru saja selesai musim keempatnya baru-baru ini.

“Ini akan menjadi satu cara menarik untuk mengakhiri kalendar perlumbaan tahun ini yang berlangsung dengan cabaran tersendiri akibat pandemik. Sudah tentu, untuk muncul juara adalah satu hal yang manis! Kami akan cuba mensasarkan kejayaan keseluruhan, tetapi memandangkan ini baru kali kedua kami menyertai S1K, kami akan gembira sekiranya dapat menamatkan perlumbaan dalam kelompok teratas,” kata Takeyama lagi.

Turut membuat penampilan sulung dalam kelas MTC kali ini ialah sebuah Toyota Yaris yang dipandu oleh juara kelas Sporting Vios Challenge Musim-3 yang berusia 16 tahun, Hayden Haikal, yang akan bergandingan dengan seorang lagi pemandu muda berbakat, Timothy Yeo, mewakili Wing Hin Motorsport.

Pasukan yang juga pengedar kenderaan UMW Toyota tersebut turut turun dengan satu lagi jentera MTC, iaitu Toyota Vios yang akan dipandu oleh juara kelas Super Sporting Vios Challenge Musim-2, Boy Wong dan pemandu kelas Sporting Vios Challenge, Dannies Ng.

Perlumbaan Sepang 1000KM ini akan bermula pada hari ini, 26 November dengan sesi latihan bebas pada sebelah pagi, dan sesi kelayakan bermula pada pukul 3.30 petang. Perlumbaan sebenar bakal berlangsung pada pukul 11 pagi hari Sabtu, 27 November, dengan 181 lap bagi melengkapkan jarak 1,000 km dan dijangka akan berakhir pada pukul 8 malam hari yang sama.

Walaupun masih berada dalam situasi pandemik, penonton dibenarkan untuk hadir ke litar Sepang untuk menyaksikan perlumbaan ini secara percuma. Namun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 seperti perlu memakai pelitup muka, kekalkan jarak sosial,tidak dibenarkan untuk berkumpul dan telah menerima dua dos vaksin yang lengkap tempoh matang masih perlu dipatuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required