Toyota Yaris MTC Wing Hin Motorsport sedia gegar perlumbaan Sepang 1000km 2021 hujung minggu ini

Toyota Yaris MTC Wing Hin Motorsport  sedia gegar perlumbaan Sepang 1000km 2021 hujung minggu ini

Selepas setahun tidak diadakan kerana Pandemik Covid-19, perlumbaan endurance tahunan negara, Sepang 1000KM (S1K) untuk tahun 2021 bakal berlangsung di litar berkenaan pada hujung minggu ini. Bagi pengedar rasmi kelengkapan prestasi Toyota di Malaysia termasuk TRD dan GR, Wing Hin Motorsport, mereka bakal bertarung dalam kategori tertinggi Modified Production (MTC) dengan Toyota Yaris.

Ya, ini bukanlah model prestasi sebenar GR Yaris, tetapi Yaris pasaran Asia Tenggara yang sama seperti ‘Yaris Janna Nick‘ yang boleh anda beli di bilik-bilik pameran UMW Toyota. Bertanding dalam kelas MTC juga bermaksud ia masih menggunakan enjin asal 2NR-FE dari kilang.

Namun undang-undang MTC yang membenarkan pengubahsuaian ektensif persis kelas FIA Group A, sudah tentu enjin berkenaan telah rombak semula dan mungkin kapasitinya telah dibesarkan dari 1.5 liter kepada kapasiti maksima yang dibenarkan iaitu 1.6 liter. Manakala kotak gearnya turut telah ditukar menggunakan transmisi manual bagi menggantikan kotak gear CVT automatik asal.

Wing Hin Motorsport tidak mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan Toyota Yaris MTC ini. Namun boleh dijangka prestasinya tidak jauh berbeza dari jentera-jentera MTC yang dibangunkan oleh pasukan Proton R3 seperti Saga dan Iriz, di mana enjin S4PH 1.6 liter dalam perut kereta-kereta tersebut mampu menghasilkan kuasa sekitar 200 hp, tanpa bantuan pengecas turbo.

Rupa luaran Yaris MTC ini juga dilihat tidak jauh berbeza dengan Yaris biasa, dengan hanya menerima splitter bawah bampar hadapan dan juga sayap GT bersaiz besar di belakang. Jentera ini akan dipandu oleh juara kelas Sporting Vios Challenge Musim-3 yang berusia 16 tahun, Hayden Haikal, yang akan bergandingan dengan seorang lagi pemandu muda berbakat, Timothy Yeo.

Perlumbaan Sepang 1000KM ini akan bermula pada hari ini, 26 November dengan sesi latihan bebas pada sebelah pagi, dan sesi kelayakan bermula pada pukul 3.30 petang. Perlumbaan sebenar bakal berlangsung pada pukul 11 pagi hari Sabtu, 27 November, dengan 181 lap bagi melengkapkan jarak 1,000 km dan dijangka akan berakhir pada pukul 8 malam hari yang sama.

Walaupun masih berada dalam situasi pandemik, penonton dibenarkan untuk hadir ke litar Sepang untuk menyaksikan perlumbaan ini secara percuma. Namun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 seperti perlu memakai pelitup muka, kekalkan jarak sosial,tidak dibenarkan untuk berkumpul dan telah menerima dua dos vaksin yang lengkap tempoh matang masih perlu dipatuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required