Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

Ini dia, versi produksi paling hardcore untuk Porsche 911 generasi 992 buat masa sekarang, iaitu 911 GT3 secara rasmi telah mendarat di pasaran Malaysia! Model ini dijual oleh pengedar rasmi jenama kereta Jerman tersebut, Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga bermula RM1,766,244 sebelum ditambah dengan opsyen lain, tetapi sudah termasuk pengecualian cukai SST 50% bagi kereta yang diimport sepenuhnya (CBU).

Porsche 911 yang difokuskan untuk pemanduan litar ini telah dibuktikan mampu untuk menghabiskan satu pusingan lap di Litar Nürburgring Nordschleife dalam masa tak sampai tujuh minit. Ia dijana oleh enjin boxer enam-silinder 4.0 liter NA yang diambil dari 911 Speedster, menghasilkan kuasa 510 PS pada takat 8,400 rpm dan tork maksima 470 Nm pada takat 6,100 rpm.

Enjin tersebut mampu untuk menjerit sehingga ke redline yang ditetapkan pada 9,000 rpm, dengan udara disedut masuk ke dalam kebuk pembakaran menerusi sistem individual throttle body (ITB) yang diberikan pada setiap silinder, serta diberikan lifter injap solid bebas penyelenggaraan.

Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

Bagi pasaran Malaysia, pelanggan ditawarkan dengan kedua-dua jenis kotak gear – manual enan-kelajuan atau klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan – dengan harga yang sama. Ia juga datang dengan pakej GT3 Touring dengan rupa lebih garang, manakala model yang menggunakan kotak gear PDK turut boleh menerima pilihan pakej Touring.

Bagi model manual, 911 GT3 ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa 11.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Bagi kereta yang dibekalkan dengan kotak gear PDK, ia ternyata lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j hanya 3.4 saat dan mencapai 200 km/j dalam masa hanya 10.8 saat, namun kelajuan maksimanya sedikit rendah iaitu 318 km/j.

Kedua-dua kotak gear tersebut masih sama dengan 911 GT3 sebelum ini, di mana versi manual masih memberikan fungsi rev-match serta 17 kg lebih ringan dari PDK. Manakala kotak gear PDK pada 992 GT3 ini pula kurang satu nisbah berbanding versi Carrera dan Turbo bagi mengurangkan beratnya serta membolehkan penukar gear mekanikal konvensional dipasang. Pedal penukar gear juga masih diberikan secara standard.

Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

Walaupun badan 992 GT3 ini lebih besar dari 991.2 sebelum ini, ia ditimbang hanya sedikit lebih berat dari model sebelumnya. Model yang diberikan kotak gear manual hanya seberat 1,418 kg, manakala versi dengan kotak gear PDK pula adalah 1,432 kg, atau sekitar 5 kg lebih berat dari 991.2.

Ini kerana model generasi baharu ini menerima cermin yang lebih ringan, tempat duduk belakang dibuka serta material-material penebat bunyi pada badan telah dibuang. Ia juga diberikan bateri lithium logam fosfat yang lebih ringan secara standard, yang ditimbang 10% lebih ringan dari unit pada model lama.

Kelengkapan-kelengkapan aerodinamik yang begitu agresif pada GT3 ini juga merupakan perincian standard, dia mana ia mampu untuk meningkatkan downforce sehingga 150%. Bagi mereka yang memilih opsyen GT3 Touring Package, spoiler GT ‘leher angsa’ di belakang akan digantikan dengan spoiler adaptif, manakala keseluruhan bampar hadapan menerima kemasan warna badan, serta jalur kemasan di bawah tingkat sisi menggunakan material aluminium tersadur berkilat.

Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

Manakala untuk casis pula, GT3 diberikan sistem double wishbone pada bahagian hadapan bagi menggantikan topang McPherson, menjadikan ia model produksi jalan raya pertama Porsche menggunakan sistem sedemikian. Menurut Porsche, sistem gantungan bebas hadapan berkenaan membolehkan kejituan pemanduan ditingkatkan, serta memberikan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan lebih konsisten dalam situasi terbeban.

Seperti model-model GT3 sebelum ini, ia kekal menampilkan kabin seakan kereta lumba sebenar. Pemandu menerima paparan instrumen yang menampilkan takometer pada bahagian tengah (kini dengan bantuan tukaran gear bersama bar berwarna) yang memberikan bacaan sehingga 10,000 rpm, diapit dengan paparan tujuh-inci pada setiap sisi yang menampilkan skrin litar baharu yang memberikan data-data penting ketika memandu.

Untuk Infotainmen pula, model ini diberikan skrin sesentuh 10.9-inci yang dilengkapi sistem Porsche Communication Management (PCM) terkini bersama navigasi atas talian dan Porsche Connect Plus. Ia juga diberikan aplikasi Porsche Track Precision membolehkan anda membuat analisa terhadap gaya pemanduan yang telah dibuat di litar.

Pembeli juga boleh membuat penampilan unik pada kereta masing-masing, dengan penawaran 105 warna klasik yang boleh dipilih. Porsche turut menawarkan program “Paint to Sample” bagi membolehkan anda memiliki 911 GT3 yang lebih istimewa berbanding pemilik lain, serta pelbagai aksesori Porsche Exclusive Manufaktur termasuk bumbung gentian-karbon tanpa kemasan warna, penutup cermin sisi karbon, lampu hadapan LED matrix yang digelapkan dengan lensa lampu belakang jernih, cat istimewa pada rim dan pelbagai lagi.

GALERI: Porsche 911 GT3 992

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required