GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

Beberapa hari lalu, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) telah pun melancarkan model pertama GAC Motor untuk pasaran Malaysia iaitu SUV segmen-B GAC GS3.

Ia tiba di pasaran Malaysia dalam versi facelift terbaharu, dan diimport sepenuhnya (CBU), ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Standard dan Premium. Kedua-dua varian yang ditawarkan ini hanya dipadankan dengan satu pilihan penjana kuasa iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder NA (tanpa pengecas turbo).

Enjin ini mampu menjana 114 PS (113 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan dari Aisin. Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.

GAC GS3 di Malaysia – 1.5L NA 114 PS/150 Nm, harga RM89k-97k; SUV saingan Perodua Ativa, Proton X50

Dari segi casis pula, ia diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, sistem brek cakera untuk hadapan dan belakang serta stereng bantuan kuasa elektrik (EPS).

Untuk dimensinya pula, SUV ini berukuran 4,358 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,660 mm/1,685 mm tinggi (dengan/tanpa rel bumbung) serta jarak roda 2,560 mm. Berbanding saingan dalam kelas SUV segmen-B yang sama iaitu Proton X50, GS3 ini adalah 28 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 51 mm/76 mm lebih tinggi, tetapi menampilkan jarak roda 40 mm lebih pendek.

Ruang but belakang GS3 ini direka bagi memuatkan kapasiti kargo 356 liter, dan boleh mencapai 780 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) rata.

Untuk membezakan varian, model Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan phone mirroring.

Manakala varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh dan perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua.

Bagi aspek keselamatan pula, varian Standard diberikan empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model Premium hanya diberikan tambahan dua lagi beg udara, bagi menjadikan ia enam unit secara keseluruhan.

Bagi model Standard, ia boleh dipilih dengan dalam warna badan Lunar Grey, Ivory White atau Starlight Silver, manakala model Premium pula hadir dengan warna badan dua tona dengan pilihan Rosefinch Red dan Ivory White, kedua-duanya dipadankan dengan bumbung hitam. Versi tertinggi ini juga ditawarkan dengan satu pilihan warna tona tunggal iaitu Lunar Grey.

Harga bagi GS3 Standard ialah RM88,800, manakala GS3 Premium pula berharga RM96,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insuran bersama insentif potongan cukai jualan (50% untuk CBU) sehingga 30 Jun 2022. Setiap pembelian disertakan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, bersama servis percuma (kos buruh sahaja) lima kali dalam tempoh tiga tahun atau 100,000 km.

Jika anda berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat, boleh berkunjung ke bilik pameran pertama GAC Motor di Malaysia, yang terletak di Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. Menurut WTCA, pihaknya telah merancang untuk membuka lebih banyak bilik pameran di luar kawasan Lembah Klang.

GALERI : GAC GS3 1.5L Premium

GALERI : GAC GS3 1.5L Standard

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required