Seperti yang kami laporkan semalam, hari ini satu lagi jenama China iaitu GAC Motor telah masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi, bermula dengan model pertama yang diperkenalkan – SUV segmen-B GAC GS3. Jualan dan servis selepas jualan jenama tersebut diuruskan oleh Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), iaitu satu lagi subsidiari Warisan Tan Chong Holdings selepas perjanjian eksklusif antara syarikat tersebut dengan GAC Motor International ditandatangani pada 30 November 2021.
GAC GS3 ini tiba di pasaran Malaysia dalam versi facelift terbaharu, dan diimport sepenuhnya (CBU). Ia ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian Standard dijual pada harga RM88,800, diikuti varian Premium berharga RM96,800. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran bersama insentif potongan cukai jualan (50% untuk CBU) sehingga 30 Jun 2022.
Setiap pembelian disertakan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, bersama servis percuma (kos buruh sahaja) lima kali dalam tempoh tiga tahun atau 100,000 km. Bagi model Standard, ia boleh dipilih dengan dalam warna badan Lunar Grey, Ivory White atau Starlight Silver, manakala model Premium pula hadir dengan warna badan dua tona dengan pilihan Rosefinch Red dan Ivory White, kedua-duanya dipadankan dengan bumbung hitam. Versi tertinggi ini juga ditawarkan dengan satu pilihan warna tona tunggal iaitu Lunar Grey.
Dari segi saiz, GS3 ini diukur dengan dimensi 4,358 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,660 mm/1,685 mm tinggi (dengan/tanpa rel bumbung) serta jarak roda sejauh 2,560 mm. Berbanding saingan dalam kelas SUV segmen-B yang sama iaitu Proton X50, GS3 ini adalah 28 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 51 mm/76 mm lebih tinggi, tetapi menampilkan jarak roda 40 mm lebih dekat.
Ruang but belakang GS3 ini direka bagi memuatkan kapasiti kargo 356 liter, dan boleh mencapai 780 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) rata. Dari segi casis pula, model ini diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, sistem brek cakera untuk hadapan dan belakang serta stereng bantuan kuasa elektrik (EPS).
Kedua-dua varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini hanya dipadankan dengan satu jenis unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter empat silinder NA (tanpa pengecas turbo) yang menjana 114 PS (113 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan dari Aisin. Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.
Untuk membezakan varian, model Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan phone mirroring.
Manakala varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh dan perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua.
Untuk aspek keselamatan pula, varian Standard diberikan empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model Premium hanya diberikan tambahan dua lagi beg udara, bagi menjadikan ia enam buah secara keseluruhan.
Jika anda berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat, ia sudahpun mula dipamerkan di bilik pameran pertama GAC Motor di Malaysia, yang terletak di Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, 51200 Kuala Lumpur. Menurut WTCA, lebih banyak bilik pameran telah dirancang untuk kawasan luar dari Lembah Klang selepas ini.
Dengan harga tidak melebihi RM100k, GS3 ini dilihat jauh lebih murah dari pesaing lain seperti Honda HR-V dan juga Toyota Corolla Cross. Namun, ia tentu mengundang komen “baik beli X50” kerana SUV segmen-B Proton tersebut menampilkan harga yang lebih kurang sama tetapi dengan enjin yang jauh lebih berkuasa dan kelengakapan yang jauh lebih banyak. Anda pula bagaimana? Berminat dengan penawaran terbaharu dalam pasaran SUV segmen-B ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.