Jika kita berborak pasal Keiichi Tsuchiya, sudah tentu kita terbayang akan Toyota Corolla AE86 yang begitu ikonik dengan pelumba lagenda Jepun yang terkenal dengan gelaran “The Drift King” berkenaan. Namun tahukah anda pada era awal 90’an, Tsuchiya sebenarnya agak sinonim dengan Nissan Skyline GT-R R32.
Ketika itu Keiichi Tsuchiya sahaja seringkali tampil kemana sahaja dengan R32 GT-R miliknya, dan beliau turut pernah muncul dalam siri filem “Shuto Kousoku Trial” juga memandu R32 peribadinya. Malah ketika itu Keiichi Tsuchiya juga bertanding dalam siri Kejuaraan Touring Car Jepun (JTCC) untuk musim 1991 dengan jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A pasukan Klepper Taisan, bergandingan dengan ‘Tok Guru’nya sendiri iaitu Takahashi Kunimitsu.
Team Taisan mempunyai dua buah jentera Skyline GT-R Group A ini – sebuah sudah pun diletakkan di muzium milik Nissan, dan sebuah lagi telah muncul untuk dijual menerusi Collection Car Auction ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 bermula 14 Januari lalu, dan ia dilelong menerusi platform Yahoo Auction.
Lelongan tersebut telahpun tamat pada 23 Januari lalu, dan Nissan Skyline GT-R R32 Group A Klepper Taisan ini telah terjual pada harga 27,845,000 yen tanpa cukai, atau sekitar RM1.02 juta! Kereta yang terjual ini masih dalam keadaan asal, malah kesan-kesan calar pada perlumbaan terakhirnya masih boleh dilihat pada badan kereta tersebut.
Kereta ini bertanding dalam kelas tertinggi JTCC ketika itu iaitu kelas JTC-1, memerlukan ia dibina berdasarkan spesifikasi Group A atau ‘Production Modified’. Oleh itu, ia masih perlu menggunakan sistem pacuan semua roda ATTESA-ETS Pro dan enjin asal RB26DETT 2.6 liter dengan dua pengecas turbo, tetapi telah diubahsuai bagi menghasilkan kuasa melebihi 540 hp.
Walau bagaimanapun, enjin asal pada unit yang dilelong ini telah digantikan dengan enjin RB26DETT dalam spesifikasi N1. Namun untuk majoriti perincian lain seperti suspensi, sistem penyejukan, rim magnesium dengan sistem nat tunggal dan lain-lain masih kekal dengan peralatan dalam spesifikasi Group A.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.