Perodua Alza generasi baharu disahkan bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, selepas produksi model generasi sedia ada tamat pada April nanti. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan berkenaan MPV generasi baharu tersebut setakat ini, tetapi Perodua telah mengasahkan bahawa ia turut akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menjadikan ia model kedua keluarannya yang menggunakan asas tersebut selepas Perodua Ativa.
Jadi boleh dijangka, Perodua Alza generasi baharu ini adalah kembar kepada model generasi baharu Toyota Avanza dan juga Daihatsu Xenia yang telah dilancarkan di Indonesia akhir tahun lalu, sama seperti Perodua Ativa yang merupakan kembar kepada Toyota Raize dan Daihatsu Rocky di pasaran negara tersebut.
Persoalannya, adakah Toyota akan melancarkan juga Avanza generasi baharu berkenaan di Malaysia sama seperti Toyota Rush yang merupakan kembar kepada Perodua Aruz sebelum ini? Untuk yang masih belum mengetahui, Toyota Rush juga sebenarnya dipasang oleh Perodua di kilang mereka di Rawang bersama-sama dengan Aruz, cuma aksesori-aksesori akhir yang membezakan Rush dan Aruz di pasang di kilang Toyota di Bukit Raja, Shah Alam.
Sekiranya Toyota mahu melancarkan Avanza generasi baharu ini, sudah tentu kaedah produksi yang sama turut perlu digunakan kerana UMW Toyota tidak mempunyai fasiliti untuk memasang model-model DNGA, berbanding Perodua yang telah pun bersedia dan sudahpun memasang Ativa menggunakan platform berkenaan.
Namun dalam sidang media hari ini, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa Perodua hanya mensasarkan produksi untuk model pemasangan kontrak mereka untuk tahun 2022 adalah tidak sampai 2,000 unit setahun. Berdasarkan angka ini, boleh dijangka bahawa kesemua unit yang dipasang secara kontrak di kilang Perodua berkenaan adalah Toyota Rush, tanpa ada sebarang perancangan untuk memasang Toyota Avanza baharu sepanjang tahun 2022 ini.
Dalam sidang media yang sama, Dato’ Zainal turut menyatakan bahawa sebaik sahaja produksi Alza generasi pertama ini tamat, ia akan digantikan terus dengan produksi model gantian untuk MPV tersebut. “Harap-harap transisi antara Alza lama dan Alza baharu akan berjalan dengan lancar,” katanya.
Sebelum ini Perodua telah pun mengesahkan bahawa model gantian untuk Alza bakal dilancarkan tahun ini, namun garis masa untuk pelancaran model tersebut masih belum disebut dengan jelas. Juga masih belum dapat dipastikan sama ada Perodua akan terus menggunakan nama Alza untuk MPV generasi baharu berkenaan atau akan digantikan dengan nama lain.
Buat masa sekarang projek pembangunan MPV baharu tersebut hanya dikenali dengan kod D27A. Manakala di Indonesia, Xenia dan Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.
Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.
Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Apa yang tak ada kembar….cuba tengak toyota veloz…