Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

Mazda CX-30 2.0G High

Pengedar Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah pun mengemaskini barisan model Mazda CX-30 untuk tahun 2022, dan ia melibatkan penampilan dua varian baharu Ingnite Edition. Ini menjadikan CX-30 adalah model kedua yang mendapat varian Ignite Edition tersebut selepas CX-9 pada September tahun lalu.

Kemaskini ini juga menyaksikan varian 2.0G High AWD digugurkan dari penawaran, manakala dua varian Ignite Edition baharu ini diasaskan dari model 2.0G High dan juga varian yang telah digugurkan 2.0G High AWD.

Oleh itu jika anda ke bilik pameran Mazda sekarang, CX-30 ditawarkan bermula dengan varian asas 2.0G Core (RM145,759), 2.0G High (RM160,109), 2.0G High Ignite Edition (RM169,044), 2.0G High AWD Ignite Edition (RM180,689), serta satu-satunya varian diesel iaitu 1.8D High (RM168,673.60).

Kesemua harga yang dinyatakan di atas adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan sudah termasuk insentif potongan cukai jualan sebanyak 50% untuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir Jun nanti. Sebelum ini Bermaz pernah menyatakan CX-30 akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), namun masih tiada garis masa sebenar bila ia akan dilancarkan.

Varian Ignite Edition ini menampilkan pelbagai perbezaan kosmetik berbanding model yang diasaskannya. Antaranya adalah rim 18-inci dan penutup cermin sisi yang diberikan kemasan hitam (masing-masing kemasan perak dan warna badan pada varian 2.0G High). Manakala untuk kabin, Ignite Edition menerima upholsteri kulit berwarna Burgundy.

Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

Mazda CX-30 2.0G High

Ignite Edition juga menerima kamera pemantau 360-darjah bagi menggantikan kamera undur biasa. Manakala sistem bantuan pemanduan i-Activesense pada dua varian tertinggi ini pula diberi tingkat taraf dengan penambahan Amaran Lintasan Trafik Hadapan (FCTA), Amaran Tumpuan Pemandu dan Pemantau Pemandu. Ia juga diberikan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 menerusi sistem Cruising & Traffic Support (CTS).

Fungsi-fungsi terdahulu untuk i-Activesense masih terus dibekalkan, dan ia termasuk sistem seperti Sistem Lampu Hadapan Adaptif, Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), brek kecemasan automatik Smart City Brake Support untuk hadapan dan belakang, serta cruise control adaptif Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

Selain itu, kedua-dua varian Ignite Edition ini masih tampil dengan perincian-perincian yang diambil terus dari model 2.0G High dan 2.0G High AWD. Ia termasuk lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin hadapan automatik, bumbung suria dan pintu tailgate belakang bantuan elektrik, paparan pelbagai info tujuh-inci, paparan head up berwarna, pedal penukar gear, sistem pendingin hawa dua zon dengan liang penghembus belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dan juga skrin infotainmen 8.8-inci.

Kedua-dua varian tertinggi ini juga menerima sistem i-Stop dan G-Vectoring Control Plus, namun hanya model 2.0G High AWD Ignite Edition diberikan fungsi Off-road Traction Assist. Fungsi tersebut adalah sebahagian dari sistem pacuan semua roda i-Activ Mazda yang dihubungkan kepada kotak gear dan juga enjin, bagi memberikan cengkaman maksima pada permukaan jalan yang licin.

Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

Mazda CX-30 2.0G High

Menurut Bermaz lagi, kini semua varian CX-30 diberikan port USB pada papan pemuka dan di bawah perehat tangan hadapan khas untuk menghubungkan telefon pintar dengan sistem infotainmen Mazda Connect, bagi membolehkah sistem berkenaan menerima input media serta hubungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Tiada perubahan pada bahagian mekanikal untuk kesemua varian CX-30 pasaran Malaysia. kesemua varian petrol 2.0 datang dengan enjin SkyActiv-G 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada 4,000 rpm. Model diesel pula diberikan enjin SkyActiv-D 1.8 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 114 hp pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,700 rpm.

Kedua-dua pilihan enjin ini juga menerima kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan. Kecuali model AWD, varian-varian lain dalam barisan model CX-30 pasaran Malaysia ini hanya memacu roda hadapan.

Dengan perubahan yang dibuat terhadap crossover ini, barisan model untuk Mazda CX-30 pasaran Malaysia adalah seperti berikut:

  • Mazda CX-30 2.0G Core – RM145,759
  • Mazda CX-30 2.0G High – RM160,109
  • Mazda CX-30 1.8D High – RM168,673.60
  • Mazda CX-30 2.0G High Ignite Edition – RM169,044
  • Mazda CX-30 2.0G High AWD Ignite Edition RM180,689
  • Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

    10% discount when you renew your car insurance

    Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

    Car Insurance

    Mohd Farid Awaludin

    Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

     
     

    Add a comment

    required

    required