Dongfeng Seres 5, atau turut dikenali dengan nama Huawei Seres SF5 untuk pelancaran di pasaran Thailand pada 2022, akan disertai juga oleh Seres 3 tahun ini, lapor Headlight Magazine.

Seres SF5 membuat kemunculan pertamanya di Auto Shanghai April tahun lalu, dengan penawaran dua varian untuk pasaran China; varian dengan motor tunggal pada 216,800 yuan (RM137,287) serta varian dwi-motor pada harga 246,800 yuan (RM156,334).

Apa yang menarik, Headlight Magazine melaporkan yang Seres 5 juga akan diberi pilihan untuk dua versi janaan elektrik; motor tunggal pada gandar belakang dengan 347 PS dan 520 Nm tork yang mendapatkan kuasa daripada bateri lithium-ion 88 kWh. Yang kedua ialah versi dwi-motor dengan tambahan satu lagi unit motor yang sama di gandar depan untuk pacuan semua roda.

Seres 5 boleh menggunakan pengecas Type 2 pada 11kW AC, dan pengecas CCS bagi pengecas DC hingga 100 kW. Dalam kaedah kedua ini, pengecasan 0-80% boleh dilakukan dalam masa hanya 30 minit, menurut majalah berkenaan. Ini membolehkah Seres 5 memberikan jarak perjalanan 500 km di bawah protokal NEDC, atau 430 km dengan piawaian WLTP.

Menurut penerbitan itu lagi, Seres 5 mendakwa pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 3.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Sebagai perbandingan, versi dwi-motor Huawei Seres SF5 menawarkan janaan 551 PS dan 820 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

Bagi Huawei Seres SF5, ia memanfaatkan motor elektrik SEP200 di depan, sementara di belakang menggunakan sistem pacuan elektrik semua dalam satu Huawei DriveOne, yang mempertemukan komponen mekanikal dan kuasa dalam satu unit, termasuk unit kawalan mikro, motor, reducer, pengubah DC, pengecas dalaman, unit agihan kuasa dan unit kawalan bateri.

Dengan itu, Huawei Seres SF5 memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 180 km mengikut protokol NEDC, atau mececah 1,000 km jika turut menggunaan enjin pembakaran dalaman range-extender 1.5 liter turbo empat-silinder. Antara Dongfeng Seres 5 dan model Huawei yang sama itu, kedua-duanya mempunyai ukuran yang sama; 4,700 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,625 mm tinggi dan 2,875 mm jarak antara roda.

Kelengkapan keselamatan dalam Huawei Seres SF5 termasuklah radar gelombang-milimeter terperinci, radar ultrasonik, kamera keliling dan sensor lain yang membolehkan ciri autonomous Tahap 2. Ciri aktif lain pula termasuklah bantuan kesesakan jalan, kawalan melayar adaptif, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, bantuan ke tengah lorong dan lain-lain.

Untuk Huawei Seres SF5, skrin menegaknya membolehkan capaian kepada sistem HiCar dengan OS Harmony oleh Huawei, versi buatan China bagi ecosistem sambungan dalam kenderaan seperti Google dan Apple. SF5 juga dilengkapi dengan 11-pembesar suara sistem Huawei Sound, serta kaca kalis bunyi dua lapis dan ciri penabatan bunyi yang lain, memberikan kadar kesenyapan kabin pada tahap 38 desibel.

Sebagai tambahan kepada Seres 5 serta Seres 3 EV yang akan dilancarkan di Thailand tahun ini, Dongfeng juga akan menlancarkan model elektrik sepenuhnya yang ketiga pada 2023, lapor Headlight Magazine.