Nampak gayanya program elektrifikasi oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal bermula tidak lama lagi, ini kerana syarikat berkenaan telah pun mengeluarkan teaser menerusi Facebook mengesahkan model semua-elektrik pertamanya untuk negara ini bakal tiba tidak lama lagi.

Model tersebut, EQA, boleh dianggap sebagai GLA versi tanpa emisi, dan merupakan model ketiga dalam barisan EQ selepas EQC dan EQV. Ia diperkenalkan di peringkat global pada Januari tahun lalu, dan untuk pasaran kita, ia ditawarkan dengan varian EQA 250 versi pacuan roda-hadapan.

Ia menampilkan satu motor elektrik asynchronous di hadapan untuk memberikan 140 kW (190 PS) dan 375 Nm tork, sekaligus membenarkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j. Bateri lithium ion 66.5 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak 426 km.

EQA boleh dicas menggunakan kuasa AC sehingga 11 kW, tetapi waktu mengecas bergantung kepada insfrastruktur yang digunakan. Jika menggunakan pengecas AC 11-kW, ia mengambil masa sekitar lima jam 45 minit untuk pengecasan penyg. Malahan ia juga boleh menerima kuasa daripada pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang akan mengambil masa untuk mengecas dari 10% ke 80% dalam masa cuma setengah jam sahaja.

Pengeluar kereta ini juga memiliki dua versi pacuan empat-roda, iaitu EQA 300 4Matic dan EQA 350 4Matic, yang diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu. Model motor-berkembar ini menawarkan kuasa 225 hp (228 PS atau 168 kW) dan tork 390 Nm untuk EQA 300, dan 288 hp (292 PS atau 215 kW) dan 520 Nm bagi EQA 350.

Tiada harga jangkaan diberikan buat masa ini, namun jika di Australia, EQA 250 bermula dari AUD76,800 (RM236,500), sementara di UK pula ia berharga dari £45,645 (RM255,000), jadi bolehlah dijangka EV ini mungkin berharga di bawah RM300k untuk pasaran kita, termasuk pengecualian cukai untuk EV. Mungkin harganya tidak jauh berbeza dengan GLA 250 CKD versi petrol (berharga RM271,164 buat masa ini).

Bagi EQS yang telah lama diuar-uarkan menjadi model EQ terawal bakal diperkenalkan di sini, namun ternyata ia masih tertangguh disebabkan ia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran global. Walau pun, ia akan tetap diperkenalkan di sini, cuma belum tahu bila waktunya.

November tahun lalu, Timbalan Presiden bagi pemasaran dan jualan MBM, Michael Jopp berkata, jangkaan model ini bakal diperkenalkan adalah tidak lama selepas pengumuman mengenai rancangan membawa masuknya ke pasaran tempatan. Jadi, dengan kemunculan teaser EQA ini, pastinya detik pelancarannya bakal menjelang tiba bila-bila masa dalam waktu terdekat ini.