Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengesahkan pembinaan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 2 (Sarawak) akan dilaksanakan semula pada tahun ini. Menurut timbalan menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, laluan bagi LPB Fasa 2 iaitu dari Limbang ke Lawas itu dijangka siap pada tahun 2028.

Katanya lagi, kerajaan memberi komitmen akan mengutamakan jajaran itu yang objektifnya adalah untuk melancarkan trafik tanpa melalui Brunei, laporan Bernama.

“Projek ini telah mendapat kelulusan secara prinsip pada mesyuarat Kabinet 4 Mac lepas,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pagi tadi. Ia adalah bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi mengenai status terkini Fasa 2 Projek Pan Borneo Sarawak yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Pelan asal laluan Lebuhraya Pan Borneo (Sarawak)

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa projek LPB Fasa 2 tersebut akan diteruskan.

Selain itu, pada Februari lalu, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk pelaksanaan jajaran Trans Borneo merangkumi jajaran Fasa 2 LPB Sarawak dan Fasa 2 jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan kesinambungan Fasa 1.

Arthur turut berkata, status pelaksanaan keseluruhan Fasa 1 projek LPB Sarawak sepanjang 786 kilometer, sehingga Januari lepas adalah 78% siap. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pakej dalam projek itu akan mengalami sedikit kelewatan ekoran pandemik Covid-19 dan anggaran tarikh siap dijangka melangkaui suku pertama 2023.

“Namun, pihak kementerian dan JKR Sarawak akan sentiasa memantau dan melaksanakan pelbagai pelan mitigasi termasuk penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa, bagi memastikan kelancaran beberapa pakej dalam projek ini supaya tarikh penyiapan tidak terlalu jauh daripada tarikh asal,” katanya.