Di PACE 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Setia City dan akan berakhir hari ini, Ford turut mempamerkan beberapa pilihan model 4×4 jenama itu bagi edisi terbaru tahun ini. Trak pikap Ranger menjadi model laris dan penting, dengan antara penawarannya adalah Ranger XLT Plus Special Edition pada harga RM136,888.

Varian XLT Plus ini menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 180 PS dan 420 Nm tork, dan digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan 10R80. Tambahan kepada kit XLT Plus dan unik untuk varian Special Edition adalah gril depan gaya Raptor dengan ejaan Ford besar.

Versi khas ini juga datang dengan lampu utama LED, pemijak sisi, pintu ruang barangan Easy Lift, sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan melayar, balutan kulit, kawalan pendingin dua zon, paparan multi-info berkembar empat-inci, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi enam-pembesar suara dan kamera undur.

Turut serta adalah model Wildtrak, dengan harga RM152,388. Dengan enjin yang sama, janaannya bagaimanapun lebih tinggi dengan 213 PS dan 500 Nm tork hasil tetap bi-turbo yang digunakannya. Transmisi bagaimanapun sama; automatik 10-kelajuan 10R80, dengan SelectShift.

Kit keselamatan aktif Wildtrak terdiri daripda amaran perlanggaran depan, AEB dengan pengesan pejalan kaki, amaran penukaran lorong dan kawalan melayar adaptif. Tidak ketinggalan, ada enam beg udara.

Sebuah lagi model yang dipamerkan oleh Ford adalah Everest yang dijual pada harga RM268,888. Model ini, sama seperti trak pikapnya, menggunakan model 2.0 liter empat-silinder turbodiesel dengan 213 PS dan 500 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan. Semua ini dan banyak lagi boleh didedakti di PACE 2022 yang akan berakhir hari ini.