TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

Seperti yang diumumkan sebelum ini, hujung minggu ini – bermula 19 hingga 20 Mac – Litar Antarabangsa Sepang dipenuhi dengan Toyota Vios yang berentap dalam siri ‘one make’ Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia, yang kini berlangsung dalam musim kelima, pusingan pertama.

Seperti musim-musim sebelumnya, Vios Challenge masih menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda yang lahir dari perlumbaan simulator dan kart), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Apa yang istimewa pada musim ini, pelumba-pelumba dari kategori Rookie dari musim lalu kini sudah pun menunjukkan bakat mereka untuk berentap dengan pemandu-pemandu lebih berpengalaman dalam kategori Sporting dan Super Sporting.

RACE 1, SABTU 19 MAC

  • Kategori Super Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Juara musim lalu, Tengku Djan Ley terpaksa menarik diri dari perlumbaan pertama ini kerana masalah kesihatan, dan tempatnya digantikan oleh adiknya sendiri iaitu Tengku Ezan untuk memandu jentera pasukan Prima Pearl Auto bernombor 12 berkenaan.

    Dengan ketiadaan juara bertahan ini, bintang muda yang baru berumur 17 tahun, Hayden Haikal (juga bekas juara kategori Sporting) dari pasukan Axle Sports mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan pada pagi Sabtu. Turut membuat kejutan adalah pelumba yang membuat penampilan dalam kategori Rookie musim lalu iaitu Amer Harris yang kini berlumba dalam kategori Super Sporting dengan memandu jentera bernombor 70 pasukan M7 Japan Project, mencatatkan masa kedua terpantas untuk bermula di belakang Hayden untuk perlumbaan pertama.

    Manakala seorang lagi pelumba pasukam Prima Pearl Auto, iaitu pelumba touring car antarabangsa yang baru berumur 22 tahun, Mitcheal Cheah berada di grid yang ketiga. Pelumba ‘otai’, Boy Wong yang juga berlumba untuk pasukan Axle Sports turut berada di grid baris kedua bersama Mitchell, bermula di petak keempat.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Walau bagaimanapun sebaik sahaja perlumbaan bermula, Boy Wong berjaya meluru kehadapan untuk mengekori Hayden di tempat kedua. Dan kemudian pada lap kedua Hayden bukan sahaja dipintas oleh Boy Wong, malah turut tidak boleh bertahan dengan asakan dari Mitchell Cheah yang merampas kedudukan kedua.

    Namun pada selekoh terakhir pada lap keenam, Cheah yang cuba memotong dari dalam terlanggar bahagian belakang Vios Boy Wong dan menyebabkan kedua-duanya terbabas keluar. Impak dari insiden berkenaan menyebabkan kedua-dua jentera tersebut rosak dan tidak mampu untuk meneruskan perlumbaan.

    Ini membolehkan Hayden kembali memimpin perlumbaan, namun dia sentiasa diserang oleh pelumba pasukan Telagamas Toyota iaitu Freddie Ang. Walau bagaimanapun, Hayden berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke garisan penamat dengan Ang berada hanya 0.264 saat di belakang. Eddie Liew dari pasukan Laser Motor Racing pula merangkul tempat ketiga dengan ketinggalan sekitar 3 saat berbanding kelompak pertama tersebut.

  • Kategori Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Tom Goh dari pasukan S&D Tama memulakan perlumbaan ini pada petak pertama, diikuti oleh Mirza Syahmi dari pasukan Carroof Motorsport di petak kedua dan Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors. Namun sebaik perlumbaan bermula, juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan yang bermula dari petak kelima berjaya mendaki ke kedudukan ketiga selepas lengkap lap pertama.

    Naquib sekali lagi melakukan kejutan dengan memintas Mirza Syahmi di lap kedua, dan kemudian mula melakukan serangan terhadap Tom Goh yang berada di hadapan. Bintang muda yang bermula hanya sebagai pelumba simulator dan kini baru berumur 21 tahun berkenaan kemudian melakukan gerakan cantik pada selekoh pertama, lap ketiga; nampak seperti Naquib mahu memotong dari sebelah luar, Tom Goh turut mula melakukan gerakan defensif untuk menutup laluan berkenaan, tetapi Naquib tiba-tiba melakukakan serangan dari sebelah dalam!

    Naquib kemudiannya melakukan pintasan bersih dipertengahan selekoh pertama, dan mengesahkan kedudukan sebagai pendahulu perlumbaan selepas keluar dari selekoh kedua. Kedudukan tersebut kekal sehingga ke garis penamat dengan Tom Goh tidak berdaya menyerang semula Naquib, tertinggal hampir 16 saat di belakang ketika melepasi garisan penamat.

    Bagi Mirza Syahmi pula, dia terpaksa bertarung sengit dengan Bradley Benedict Anthony yang baru berumur 19-tahun dari pasukan Crestmax Motorsport untuk terus kekal di kedudukan ketiga. Bradley akhirnya berjaya memintas Mirza Syahmi pada lap kelapan.

    Bradley berjaya kekal dikedudukan tersebut hingga tamat perlumbaan untuk dan berjaya menaiki podium pertamanya untuk musim ini, sementara Mirza Syahmi pula terus diasak oleh Abdul Miqail (pasukan 23 Motors) dan Kenneth Koh (pasukan Panglima City Racing) dan akhirnya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tangga keenam.

  • Kategori Rookie
  • Seperti musim lalu, enam orang pelumba muda dari kategori Rookie ini dilepaskan sekali bersama kategori Super Sporting, tetapi berada di belakang dengan dipisahkan dua baris grid dari baris terakhir kategori Super Sporting. Untuk kategori ini, Muizz Musyaffa memulakan perlumbaan di petak pertama, diikuti adik kepada Naquib Azlan, iaitu Nabil Azlan di tempat kedua.

    Namun agak malang bagi Muizz, dia tidak berjaya mengekalkan kedudukannya, di mana perlumbaan pusingan pertama ini dimenangi oleh Naquib – apa yang menarik Naquib menghabiskan perlumbaan ini di hadapan beberapa pelumba dari kelas Super Sporting!

    Sharique Zulqarinain pula berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat kedua, tetapi ketinggalan lebih 14 saat berbanding Naquib. Muhammad Hamdany Abdul Hamid melengkapkan podium untuk tempat ketiga bagi kategori Rookie ini.

  • Kategori Promotional
  • Pelakon dan pelawak Zizan Razak nampaknya mendominasi sepenuhnya kategori ini. Dia berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan pada sebelah pagi untuk bermula di petak pertama pada Race 1. Selepas perlumbaan dimulakan, Zizan secara beransur-ansur menjarakkan dirinya dari kelompok kedua, dan akhirnya menang dengan selesa.

    Aksi yang agak menarik pada kategori ini ditunjukkan oleh juara musim lalu, pelakon Shukri Yahaya. Shukri memulakan perlumbaan di grid yang terakhir, namun dengan pemanduan yang cukup konsisten dia berjaya melepasi garis penamat di tempat kedua, 11.215 saat di belakang Zizan.

    Ahirinie Ahirudin juga mempamerkan pemanduan yang agak konsisten kali ini – dia bermula dari petak ketiga, dan kekal di kedudukan yang sama sehingga tamat perlumbaan untuk naik ke podium pertamanya bagi musim ini.

    RACE 2, AHAD 20 MAC

  • Kategori Super Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Berdasarkan keputusan perlumbaan Race 1 pada Sabtu, susunan automatik semula yang dibuat membolehkan William Ho dari pasukan Toyotsu Racing bermula di petak pertama, diikuti oleh Aaron Lim dari pasukan Laser Motor Racing di petak kedua. Baris kedua pula adalah untuk Ady Rahimy dari pasukan 23 Motors dan Eddie Liew juga dari Laser Motor Racing masing-masing di petak ketiga dan keempat. Manakala juara dan naib juara Race 1 iaitu Freddie Ang dan Hayden Haikal pula berada di baris ketiga masing-masing di petak kelima dan keenam.

    Sebaik sahaja perlumbaan bermula, William Ho terpaksa membuat gerakan defensif bagi mengelakkan Ady Rahimi memintasnya dari luar pada selekoh pertama. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut membolehkan Eddie Liew mengambil kesempatan untuk memotong kedua-dua kereta tersebut dari sebelah dalam pada selekoh tersebut sekaligus menjadi pendahulu perlumbaan yang baharu.

    Persaingan dikelompok kedua berkenaan membolehkan Eddie menjarakkan kedudukan lebih selesa di hadapan. Dalam keadaan kucar-kacir tersebut juga membolehkan Hayden Haikal menyelinap ke kedudukan kedua. William Ho yang pada mulanya hanya tertinggal di tempat ketiga kemudiannya sekali lagi dipotong oleh Freddie Ang pada lap pertama ini dan jatuh satu lagi anak tangga.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Walau bagaimanapun, bekas pelumba British Touring Car Championship (BTCC) Fariqe Hairuman yang menampilkan prestasi serba tidak kena pada Race 1, mula mengaktifkan ‘battle mode’ – pada lap kedua secara tiba-tiba Fariqe berjaya memotong Freddie dan Hayden untuk berada di kedudukan kedua.

    Namun Hayden masih belum mengalah dan melancarkan semula serangan bertubi-tubi terhadap Fariqe, dan dia turut disertai oleh Ady Rahimi menyebabkan kedudukan antara tiga pelumba ini sering bertukar pada lap kedua dan ketiga. Namun dog fight antara ketiga-tiga pelumba tersebut telah menyebabkan kemalangan besar pada lap keempat, membolehkan Mitchell Cheah yang bermula dari petak paling belakang, kini berjaya menduduki tangga ketiga, diikuti Freddie Ang di belakangnya.

    Walaupun ketinggalan agak jauh iaitu sekitar 10 saat di belakang Eddie Liew pada satu ketika, Mitchell masih sedaya upaya untuk menjarakkan dirinya – sehingga lap ke-17, jarak antara Mitchell dan Eddie hanyalah sekitar 3 saat. Walau bagaimanapun, Mitchell merasakan tayarnya mula haus akibat pemanduan yang agresif dan mula memperlahankan rentaknya selepas itu bagi memastikan ia menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Walaupun menerima cabaran dari Brendan Paul, Freddie Ang masih mampu mempertahankan podium tempat ketiga sehingga tamat perlumbaan.

  • Kategori Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Dengan kemenangan pada Race 1, Naquib Azlan perlu bermula pada petak keenam pada Race 2. Perlumbaan ini dimulakan dengan Mirza Syahmi pada petak pertama, diikuti Kenneth Koh, Abdul Miqail, Bradley Banedict Anthony dan Tom Goh. Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Abdul Miqail cuba untuk menyerang Mirza Syahmi pada selekoh pertama, dan pertarungan antara kedua-dua pelumba tersebut membolehkan Kenneth Koh mengambil kesempatan untuk berada di kedudukan pertama.

    Namun pada lap kedua, dua pelumba muda yang mendominasi Race 1 iaitu Naquib dan Bradley mula melancarkan serangan mereka pada kelompok kedua untuk berada di hadapan Abdul Miqail. Pada lap ketiga, Naquib berjaya memintas Syahmi untuk berada di tempat ketiga, dan kemudian pada lap keempat Syahmi jatuh ke kedudukan keempat setelah dipintas pula oleh Bradley.

    Dalam masa yang sama, Naquib mula cuba melancarkan beberapa serangan ke atas Kenneth Koh yang berada di hadapan. Dan akhirnya pada selekoh kedua pada lap ke-tujuh, Naquib berjaya memintas Kenneth dari dalam. Malang lagi untuk Kenneth Koh, tidak sempat dia melakukan apa-apa serangan balas, Bradley yang berada di belakang pula berjaya memintasnya dan berjaya naik ke posisi kedua.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Naquib terus berada di hadapan dan menjarakkan dirinya berbanding kelompok kedua, manakala Kenneth pula sedaya upaya untuk terus berada di belakang Bradley. Walau bagaimanapun pada lap ke-15, Abdul Miqail mula mengacau kedudukan Kenneth dan cuba untuk memotongnya.

    Pertarungan antara Kenneth dan Abdul Miqail mencapai klimaks pada lap terakhir, dengan dua kali percubaan untuk memintas oleh Miqail menyebabkan kedua-dua mereka berlanggar. Namun Kenneth masih boleh bertahan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Naquib juga berjaya kekal di hadapan sehingga garis penamat, diikuti Bradley yang tertinggal 7.412 saat di belakang.

    Walau bagaimanapun, Naquib menerima penalti 30 saat menyebabkan dia jatuh ke kedudukan ketujuh. Ini kerana pengarah perlumbaan mendapati bahawa dia memotong Kenneth dengan keempat-empat tayar berada di luar litar. Jadi untuk keputusan akhir Race 2 ini, Bradley disahkan sebagai juara, diikuti oleh Kenneth dan juga Abdul Miqail.

  • Kategori Rookie
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Dengan hanya lima pelumba dalam kategori ini, sudah tentu Muizz Musyaffa yang berada di kedudukan terakhir pada Race 1 akan bermula di petak pertama pada Race 2 ini. Di petak kedua pula adalah satu-satunya pelumba wanita dalam kategori ini iaitu Adele Lew, diikuti Hamdany Hamid, Sharique Zulqarnain dan juga juara Race 1 iaitu Nabil Azlan.

    Namun selepas 20 lap perlumbaan berlangsung, Sharique berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, manakala Muizz pula jatuh ke tempat kedua. Hamdany berjaya naik ke podium terakhir untuk kategori Rookie dalam Race 2 ini, manakala Nabil hanya berpuas hati di tempat keempat. Adele pula tidak berjaya untuk menamatkan perlumbaan.

  • Kategori Promotional
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Keputusan pada Race 1 membolehkan Janna Nick bermula di grid pertama untuk perlumbaan ini dan diikuti oleh Wany Hasrita dan Nabil Ahmad. Manakala pemenang Race 1 iaitu Shukri Yahaya dan naib juara Zizan Razak berada di baris ketiga masing-masing di petak kelima dan keenam.

    Namun sebaik sahaja perlumbaan bermula, Zizan terus meluru ke hadapan, tetapi malangnya dia dilanggar dari belakang di selekoh pertama menyebabkan keretanya berpusing. Ini membolehkan Janna Nick terus berada di tempat pertama, manakala Zizan berada di kedudukan paling belakang setelah berjaya menghidupkan kembali enjin keretanya.

    Ini membolehkan Janna Nick kembali berada di hadapan, tetapi masih dicabar rapat oleh Nabil Ahmad dan Shukri Yahaya. Nabil berjaya memotong Janna Nick pada selekoh terakhir lap pertama berkenaan, kemudian Janna cuba memotong kembali Nabil pada selekoh kedua lap kedua.

    Walau bagaimanapun, Janna tak berjaya untuk memintas Nabil, sebaliknya kereta Janna berlanggar dengan Vios yang dipandu oleh pelawak tersebut, menyebabkan Janna pula yang terbabas. Ini membolehkan Nabil terus mendahului perlumbaan dengan Shukri terus mengejarnya di tempat kedua.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Pertarungan antara Shukri dengan Nabil terus berlangsung sehinggalah Shukri berjaya untuk memintas Nabil ketika masuk ke selekoh pertama lap ke-4. Namun kedudukan tersebut tidak bertahan lama kerana Nabil berjaya merampas semula kedudukan berkenaan.

    Walau bagaimanapun pada lap kelima, Shukri membuat gerakan yang sama di tempat yang sama untuk memintas Nabil, dan kali ini dia berjaya dan terus menjarakkan diri dari Nabil. Apa yang menarik, dalam masa yang sama Zizan yang ketinggalan di belakang kerana kemalangan pada peringkat awal perlumbaan tadi memandu secara agresif dan konsisten, memotong satu persatu pelumba selebriti lain di hadapannya.

    Sehinggalah pada lap ke-12, Zizan berjaya memotong Nabila Razali yang ketika itu berada di tangga kedua, dan selepas itu dia mula memburu Nabil yang berada di tempat kedua. Dan pada lap ke-15, Zizan berjaya memotong Nabil. Kedudukan ini kekal sehingga ke garis penamat, dengan Shukri Yahaya mengungguli perlumbaan dengan kelebihan 12.626 saat di hadapan Zizan, sementara Nabil tertinggal 1.735 saat berbanding Zizan.

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

    Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

    10% discount when you renew your car insurance

    Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

    Car Insurance

    Mohd Farid Awaludin

    Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

     
     

    Add a comment

    required

    required