Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

Seperti yang diumumkan tempoh hari, hujung minggu ini bermulalah perlumbaan pusingan pertama bagi siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge dalam Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia yang kini sudah pun masuk musim kelima. Perlumbaan minggu ini akan berlangsung bermula 19 hingga 20 Mac 2022 dil Litar Antarabangsa Sepang, dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih dari RM setengah juta.

Seperti musim lalu, Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional).

Bagi kategori Promotional, juara musim lalu, pelakon Shukri Yahaya perlu mempertahankan gelarannya dengan menerima cabaran dari selebriti lain seperti Zizan Razak (naib juara musim keempat), Nabil Ahmad, Janna Nick, Wany Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar dan Ahirine Ahirudin. Ain Endruce turut kembali berlumba pada musim ini selepas berehat kerana melahirkan anak pertamanya.

Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

Bagi kategori Rookie yang baru sahaja masuk edisi kedua untuk pada musim ini, seramai enam muka bakat muda baharu akan membuat penampilan, termasuk pelumba wanita pertama dalam kategori berkenaan iaitu Adele Liew. Pelumba kart, Ashen Shanmuganathan turut menyertai kategori Rookie kali ini, dan apa yang menarik ayah kepada Adele dan ayah kepada Ashen turut berlumba dalam kategori lain Vios Challenge musim ini.

Pelumba-pelumba lain yang akan memberi cabaran kepada kedua-dua pelumba berkenaan adalah dua orang pelumba simulator iaitu Muhammad Hamdany Abdul Hamid dan Nabil Azlan (adik kepada juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan), dan dua lagi pelumba kart iaitu Sharique Zulqarnain dan Muizz Musyaffa.

Untuk kategori Sporting, seorang lagi pelumba wanita akan membuat penampilan iaitu Shasha Shafie yang memandu untuk pasukan R&R Sport Speed Garage. Muka-muka dari musim lalu terus mewarnai kategori Sporting ini termasuk Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsports), Kenneth Koh (Panglima City Racing),Mirza Syahmi Mahzan (Carroof Motorsports), Tom Goh (S&D Tama), Dato Dr Ken Foo (Kulim Topwheels) dan Haziq Zairel Oh (20 Racing Team).

Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge musim kelima, pusingan pertama bermula hujung minggu ini

Manakala bagi kategori Super Sporting pula, juara musim lalu iaitu Tengku Djan Ley yang memandu untuk pasukan Prima Pearl Auto nampaknya perlu berhadapan dengan satu cabaran baharu – pelumba touring car antarabangsa yang pernah bertanding di BTCC, Super Taikyu Endurance, serta juara S1K dua kali, ‘Wak Tempe’ Farique Hairuman kini berlumba untuk pasukan M7 Japan Project.

Farique menggantikan naib juara musim lalu iaitu Syafiq Ali, dan dia akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba pasukan M7 iaitu Amer Harris, yang sebelum ini berlumba dalam kategori Rookie. Walau bagaimanapun, Tengku Djan bakal dibantu oleh kereta kedua pasukan Prima Pearl Auto, dipandu seorang lagi pelumba touring car antarabangsa yang pernah berlumba dalam WTCR iaitu Mitchell Cheah.

Selain Amer Harris, kategori Super Sporting kali ini turut akan menampilkan dua lagi pelumba muda iaitu Hayden Haikal (bekas juara kategori Sporting dan baru berumur 17 tahun) dan juga pelumba single seater, Alister Yoong (anak kepada bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong) akan berlumba untuk pasukan Axle Motorsport. Pasukan tersebut turut menampilkan seorang lagi pemandu berpengalaman untuk kereta ketiga mereka, iaitu bekas juara kategori Super Sporting Class, Boy Wong.

Keadaan belum mengizinkan untuk peminat menyaksikan perlumbaan ini terus di Sepang kerana pandemik, namun anda boleh menonton perlumbaan ini secara langsung yang akan disiarkan di semua platform media sosial Toyota Malaysia. Anda juga boleh menyertai permainan Gazoo Racing Dream Team TGR Fantasy yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, menerusi platform pada PAUTAN INI.

Permainan tersebut memerlukan anda memilih tiga pemandu untuk setiap kategori, dan Dream Team anda akan menerima mata atau ditolak mata berdasarkan keputusan sebenar setiap perlumaan Vios Challenge musim kelima ini. Pemain yang mendapat mata tertinggi pada penghujung setiap perlumbaan akan diisytiharkan sebagai pemenang, dan hadiah utama akan diberikan pada penghujung musim.

“Festival [TGR] dan Vios Challenge terus berkembang selaras dengan aspirasi kami untuk menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran Malaysia. Daripada siri yang menarik pemandu profesional, pemandu gentlemen dan selebriti tempatan, hari ini ia telah berkembang menjadi salah satu platform yang paling ideal, mudah diakses dan mampu milik untuk mengasah kemahiran dan pengalaman pemandu muda yang sedang meningkat naik dalam sukan permotoran,” kata Ravindran Kurusamy, presiden UMW Toyota Motor.

“Dan tahun ini, kami mahu penggila dan peminat menjadi lebih terlibat dalam siri ini dengan memperkenalkan permainan fantasi yang akan membolehkan mereka lebih berhubung dengan pemandu kegemaran mereka di litar,” tambahnya.

“Vios Challenge, dalam pelbagai cara, berkembang menjadi apa yang kami mahu panggil sebagai ‘perlumbaan rakyat’, dan dalam empat musim, kami telah mengekalkan objektif ini dengan bukan sahaja mempromosikan sukan permotoran kepada orang ramai sama ada di darat dan dalam talian, tetapi turut mengekalkan format perlumbaan ‘one make’ yang menjadikan perlumbaan ini menarik untuk semua peringkat pelumba,” tambah Ravindran.

Setiap pusingan Vios Challenge musim ini akan menampilkan dua perlumbaan untuk setiap kategori. Sebanyak tiga pusingan akan dilangsungkan untuk musim kelima ini, menjadikan enam perlumbaan secara keseluruhan bagi pelumba mengutip mata tertinggi, untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Pusingan kedua akan dilangsungkan pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan terakhir pula dijadualkan berlangsung pada 23-25 September. Tidak seperti musim keempat yang menyaksikan kesemua pusingan berlangsung di Sepang kerana kekangan pandemik Covid-19, UMWT merancang untuk kembali mengadakan perlumbaan di atas litar jalan raya untuk musim kelima ini. Dua pusingan disahkan akan berlangsung di Sepang, manakala satu lagi pusingan untuk litar jalan raya akan diumumkan kemudian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required