Susulan pengumuman kerajaan Thailand mengenai insentif besar-besaran untuk kenderaan elektrik (EV), Great Wall Motors (GWM) telah mengumumkan kemaskini senarai harga bagi model Ora Good Cat, di mana kini ia lebih murah sehingga 165,000 baht (RM20,635) untuk ketiga-tiga varian yang ditawarkan. Harga baharu tersebut telah mula dilaksanakan sejak 21 Mac 2022, menurut penerbitan Headlightmag.

Bagi varian asas Tech, kini ditawarkan pada harga 828,500 baht (RM103,613), atau kurang 16% berbanding harga asal yang diumumkan iaitu 989,000 baht (RM123,689). Manakala varian pertengahan Pro pula kini berharga 898,500 baht (RM112,371), mewakili pengurangan sebanyak 15.1% dari harga asal 1.059 juta baht (RM132,455).

Kedua-dua varian Tech dan Pro ditawarkan dengan jarak pengecasan penuh sehingga 400 km (standard NEDC) yang dijanakan oleh bateri phosphate lithium-iron 47.8 kWh yang menyalurkan kuasa ke motor elektrik hadapan dengan kadar 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 210 Nm, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 152 km/j.

Bagi varian tertinggi Ultra pula, ia diberikan bateri 63.1 kWh yang lebih padu membuatkannya mampu mencapai jarak pengecasan penuh sehingga 500 km, dan masih menggunakan motor elektrik yang sama seperti dua varian di bawahnya. Ia kini ditawarkan pada harga 1.0385 juta baht (RM129,880), atau kurang 13.4% berbanding harga sebelum ini yang mencecah 1.199 juta baht (RM149,953).

Semua varian juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Varian Tech dan Pro mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh, manakala Ultra pula memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.Ia juga diberikan pilihan menggunakan pengecasan pantas DC dengan kapasiti 60 kW menggunakan sambungan CCS2, yang memerlukan antara 0-80% peringkat pengecasan (SoC) lebih kurang 45 minit untuk varian 400 km, dan sekitar sejam bagi Ultra. Untuk 30-80% SoC pula, ia mengambil masa sekitar 32 minit bagi bateri kecil dan 40 minit bagi bateri yang lebih besar.

Spesifikasi ini masih dikekalkan, begitu juga dengan kelengkapan standard bagi setiap varian. Good Cat masih merupakan model import sepenuhnya (CBU) di Thailand, dan ada kemungkinan ia akan hadir dengan model pemasangan tempatan (CKD) pada masa hadapan, yang akan memberikannya harga yang lebih rendah.

GALERI: Great Wall Motors Ora Good Cat (pasaran Thailand)