Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

Selepas didedahkan kali pertama awal bulan lalu, Ford Everest 2022 kini sudah pun mula dijual di Thailand, dalam dua gred iaitu 2.0L Turbo Sport 4×2 6AT dan 2.0L Bi-Turbo Titanium+ 4×4 10AT, dengan kedua-duanya menggunakan tetapan tujuh tempat duduk.

Everest 2.0 Turbo Sport yang dijual pada harga 1.464 juta baht (RM183,230) dipacu oleh enjin 2.0 liter Si-Turbo sama seperti sebelum ini, mampu menghasilkan kuasa 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm antara 1,750 ke 2,250 rpm. Enjin Panther ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan 6R80 dengan Select Shift untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

Pakej Sport yang diberi pada SUV ini melibatkan banyak kemasan warna hitam di bahagian luar, termasuk gril, rim serta tulisan Everest di atas hud. Dalam keadaan standard, versi Sport terus dipasang dengan lampu hadapan LED dengan fungsi automatik, DRL LED berbentuk C, serta lampu kabus dan lampu belakang LED.

Konsep Sport diteruskan di bahagian dalam, di mana ia menggunakan tema hitam, lengkap dengan tempat duduk kulit sintetik berwarna hitam, dan kedua-dua tempat duduk hadapan boleh dilaras lapan arah secara elektrik. Panel instrumen digital pada varian ini bersaiz lapan inci, manakala skrin sesentuh menegak di bahagian tengah adalah bersaiz 10.1 inci.

Spesifikasi infotainmen pula termasuk sistem SYNC 4A, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, FordPass Connect serta lapan pembesar suara. Turut diberi adalah pengecas telefon tanpa wayar, empat soket USB, kamera belakang, cermin pandang belakang malap sendiri, kunci pintar dengan fungsi penghidup enjin automatik serta brek parkir elektronik.

Pada bahagian keselamatan, Everest Turbo Sport dilengkapi dengan tujuh beg udara (depan, tepi, bidai dan kaki pemandu), ABS, EBD, Electronic Stability Contro, Traction Control, Hill Start Assist dan cruise control.

Ford Everest 2022 tiba di Thailand – 2.0 Turbo Sport 4×2 6AT dan Titanium+ 4×4 10AT, RM183k ke RM232k

Untuk Everest 2.0 Bi-Turbo Titanium+ yang dijual pada harga 1.854 juta baht (RM232,000) pula, ia digerakkan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue Bi-Turbo yang mampu menghasilkan kuasa 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm tork dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Enjin model pacuan empat roda ini dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10 kelajuan 10R80.

Seperti yang boleh dijangka, varian Bi-Turbo Titanium+ ini diperkenalkan dengan senarai kelengkapan yang lebih tinggi, termasuk lampu LED matriks daripada Ranger, lengkap dengan pelarasan sudut automatik. Varian ini juga menerima bumbung panoramik, sementara penambahan lain adalah di bahagian dalam.

Selain terdapat lebih banyak kemasan krom, Everest Titanium+ juga menerima skrin yang lebih besar, iaitu panel instrumen 12.4 inci, dan di tengah ia menggunakan skrin sesentuh 12 inci. Turut diberi dalam kabin adalah lampu suasana.

Sistem bantuan pemandu juga dipertingkat bagi varian ini, dengan termasuk Adaptive Cruise Control bersama fungsi Stop and Go, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Forward Collision Warning dengan fungsi membrek, AEB dengan pengesan pejalan kaki, Rear Brake Assist dengan amaran trafik belakang serta Evasive Steer Assist.

Varian ini juga dilengkapi dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar, lampu tinggi pintar serta Active Park Assist bersama kamera pandangan 360 darjah. Untuk warna luar, terdapat tujuh pilihan disediakan dengan enam daripadanya adalah untuk kedua-dua varian, iaitu Aluminium Metallic, Meteor Grey. Absolute Black, Equinox Bronze, Snowflake White Pearl dan Sedona Orange, manakala Blue Lightning hanya disediakan untuk versi Sport.

GALERI: Ford Everest Sport 2023

GALERI: Ford Everest Titanium 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required